Kerajaan Perak cadangkan dua jeti di Pulau Pangkor beroperasi serentak

Kerajaan Perak cadangkan dua jeti di Pulau Pangkor beroperasi serentak

IPOH: Keputusan untuk melaksanakan pengoperasian dua jeti di Pulau Pangkor secara serentak bukan hanya terletak kepada kerajaan negeri, tetapi turut melibatkan kerajaan persekutuan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing.

Beliau berkata bagaimanapun pihaknya akan cuba mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar dua jeti tersebut iaitu Jeti Pulau Pangkor dan Jeti Sungai Pinang Kecil dibuka serentak bagi memudahkan pergerakkan terutama penduduk tempatan.

“Kita tahu bukan mudah nak tukar satu cara hidup yang selama ini tidak pernah diamalkan. Tapi kita akan cuba atasi perkara ini selain membangkitkan perkara ini kepada kerajaan persekutuan,” katanya pada sidang media sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak Tahun 2020, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu memorandum daripada penduduk tempatan Pulau Pangkor kepada kerajaan negeri yang diterima penasihat Menteri Besar Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang meminta agar Jeti Sungai Pinang Kecil dikekalkan.

Penutupan jeti itu sejak awal tahun ini memaksa penduduk pulau itu menggunakan Jeti Pulau Pangkor bersama pelancong sehingga menyebabkan mereka terpaksa berasak-asak dan beratur panjang.

Mengulas lanjut, Tan berkata akan timbul beberapa masalah jika dua jeti tersebut beroperasi serentak antaranya kekangan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk menjalankan pemantauan susulan status Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai kini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bekerjasama dengan pihak swasta untuk menaik taraf Jeti Pulau Pangkor bagi keselesaan orang ramai termasuk pelancong dan penduduk tempatan untuk keluar serta masuk ke pulau peranginan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Sekretariat Pulau Bebas Cukai Pangkor, Laila Mazwin Zakaria dalam satu surat rasmi bertarikh 20 Jan lepas memaklumkan bahawa Jeti Sungai Pinang Kecil akan dibuka sementara selama lima hari bermula 23 Januari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah.

Mengulas mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, Tan berkata sambutan peringkat negeri akan diadakan di Eco Botani Park 1, Bandar Seri Botani, di sini pada 6 Feb depan bermula pukul 6 petang sehingga 11 malam.

Katanya Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dijangka berangkat merasmikan sambutan yang bakal diisi dengan pelbagai program kebudayaan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )