Melepaskan PLUS kepada swasta ibarat membelah angsa yang bertelur emas

Melepaskan PLUS kepada swasta ibarat membelah angsa yang bertelur emas

Itulah perumpaan yang tepat jika kerajaan menjual PLUS kepada pihak swasta.

Dalam hal ini tindakan kerajaan yang bertegas untuk tidak menjual PLUS kepada pihak swasta adalah satu langkah yang bijak dalam menjaga aset kerajaan seraya menjaga KEPENTINGAN pencarum aktif KWSP yang berjumlah 7.59 juta orang (Oktober 2019).

Dalam ketika pasaran modal yang menguncup dek pelbagai tekanan baik di luar atau dalam negara, KWSP dan KHAZANAH pasti merasa kesukaran untuk mencari peluang pelaburan baru jika PLUS dilepaskan kepada pihak swasta.

Walaupun tindakan kerajaan memanjangkan konsesi sehingga 2058 dilihat sebagai tidak popular, tetapi kerajaan juga mewujudkan sistem menang-menang dengan memberi diskaun sebanyak 18% sepanjang tempoh konsesi berjalan.

Tindakan ini wajar dalam memastikan PLUS kekal mempunyai dana yang cukup untuk menyelenggara dan mengurus lebuhraya tanpa mengharap sebarang dana tambahan kerajaan serta pada masa yang sama mengurangkan sedikit beban rakyat dalam membayar tol.

Disamping itu tindakan ini dilihat sebagai satu langkah terbaik kerajaan dalam memastikan KWSP juga sentiasa berdaya saing dan mampu memberi dividen yang sewajarnya kepada setiap pencarum.

Harapan besar rakyat agar sepanjang konsesi ini berjalan tiada sebarang kenaikan harga tol dan kualiti yang diberikan setimpal dengan harga yang dibayar oleh rakyat.

Yang Menyokong,

MOHD IKHMAL BIN MOHD ISKANDAR
BBA (Hons) Transport UiTM
Mantan Penyelidik Kajian Pengangkutan Awam Negeri Terengganu

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )