Rakyat Perak terima faedah terus kejayaan peningkatan hasil kerajaan negeri

Rakyat Perak terima faedah terus kejayaan peningkatan hasil kerajaan negeri

IPOH: Kejayaan pertumbuhan ekonomi, peningkatan hasil kerajaan negeri serta pelaburan yang tinggi hanya akan memberi makna apabila rakyat menerima faedah secara terus.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Belanjawan 2019 dan inisiatif keadilan sosial yang dilaksanakan tahun lalu telah memberi sinar baru kepada rakyat khususnya golongan sasar.

“Antaranya adalah bantuan Kad Perak Prihatin kepada 17,000 isi rumah, hampir 11,000 pembeli Rumah Perakku.

“Selain itu, pemberian hakmilikan tanah kepada lebih 9,000 peserta FELDA, lebih 55,000 peserta RPT dan hampir 13,000 penduduk Kampung Baru,” katanya ketika Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baru 2020 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, kelmarin.

Ahmad Faizal berkata, yang terkini ialah kerajaan telah menyampaikan hakmilikan dan Borang 5A kepada penduduk RPT Papan dan RPT Bemban Rakyat di Batu Gajah, sekaligus mengakhiri penantian mereka selama lebih 30 tahun.

Untuk tahun ini, kerajaan negeri katanya menjangkakan dapat memberi hakmilikan kepada lebih 16,000 penerima.

“Pencapaian yang kita kecapi tahun lalu hanyalah asas atau foundation kepada satu perjalanan yang masih jauh bagi mengembalikan kegemilangan negeri tercinta ini.

“Di bahu kita terletak harapan rakyat yang menggunung tinggi,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua penjawat awam untuk mencari jalan bagaimana untuk terus meningkatkan pencapaian kerajaan negeri.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )