Lebih ramai masyarakat luar bandar disaran ceburi perniagaan – PM

Lebih ramai masyarakat luar bandar disaran ceburi perniagaan – PM

SHAH ALAM: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan lebih ramai masyarakat di luar bandar menceburi bidang perniagaan.

Ini kerana katanya, hanya bidang perniagaan dilihat mampu merapatkan jurang pendapatan antara penduduk di luar bandar dengan bandar.

“Orang di bandar biasanya kaya dan luar bandar biasanya miskin, tapi kalau kita belajar untuk berniaga, kita akan memperoleh pendapatan sama bahkan (mungkin) lebih lagi daripada masyarakat di bandar.

“Kita harus ingat bahawa rezeki datang daripada perniagaan. Kalau makan gaji, (pendapatan) setakat itu saja. Kalau berniaga, boleh (sehingga) jadi jutawan,” katanya dalam ucapan ringkas pada program santai bersama usahawan berjaya anjuran RichWorks International Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini hari ini.

Turut hadir pada program berkenaan isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Kira-kira 11,000 peserta menyertai program berkenaan yang diadakan di Setia City Convention Centre (SCCC) di sini.

Menceritakan pengalamannya melawat beberapa perusahaan di Okinawa, Jepun, Dr Mahathir berkata beliau bercadang menghantar pihak yang berminat untuk mempelajari dan meneroka lebih banyak ilmu perniagaan ke negara itu.

“Saya ke Okinawa (Jepun) dan mengenal pasti beberapa perusahaan yang boleh diusahakan oleh masyarakat di Malaysia. Saya mahu cari orang yang berminat untuk dihantar ke sana (Jepun) bagi mempelajari ilmu perniagaan.

“Saya lihat bagaimana mereka buat barangan daripada kaca yang cukup cantik. Mereka suruh saya cuba tapi saya tak pernah melakukannya.

“Namun, dalam masa hanya 15 minit (mempelajarinya), saya mampu hasilkan barangan kaca berwarna merah, walaupun bukan terbaik, tapi boleh guna,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada peserta program.

Dr Mahathir juga yakin masyarakat sama ada di bandar mahupun luar bandar berkebolehan untuk berniaga jika mempelajari ilmu dalam bidang berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )