Mesyuarat parti dalam surau, gantung banner di mimbar

Mesyuarat parti dalam surau, gantung banner di mimbar

IPOH: Naib Presiden Pas, Idris Ahmad hari ini memuatnaik satu gambar di laman Facebooknya memaklumkan kehadirannya ke Mesyuarat Agung Pas Cawangan Sungai Petai Atas.

Gambar tersebut memaparkan ahli-ahli Pas cawangan tersebut sedang bermesyuarat di ruang solat di sebuah surau.

Satu lagi gambar tular di laman sosial menunjukkan Idris Ahmad menyampaikan ucapan di ruangan solat hadapan.

Gambar itu juga memaparkan satu kain rentang (banner) telah digantung di hadapan mimbar surau tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu memaklumkan mesyuarat agung itu dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Pas Bukit Gantang, Zulkifli Ahmad dan beliau hadir sebagai ahli biasa parti.

“Jam 9.30 pagi hadir sebagai ahli biasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Sg Petai Atas DUN Kuala Sepetang, UPU Changkat Ibul.

“Ahlinya 180 orang, Korum MAT (mesyuarat agung tahunan) ialah 1/3 daripada ahli Pas. Perasmi Ust Zulkifli Ahmad TYDP PAS Bkt Gantang,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.

Biarpun Idris tidak memaklumkan lokasi mesyuarat itu berlangsung, namun hasil carian Perak Insights mengesahkan mesyuarat tersebut berlangsung di sebuah Surau Ahmadiah, Sungai Petai yang tidak jauh daripada rumah pemimpin Pas itu.

Tindakan tersebut jelas melanggari titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang melarang parti politik menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian.

Sultan Nazrin menegaskan pemimpin politik di Perak hendaklah memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadat umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan berparti.

Tuanku juga bertitah, pengerusi jawatankuasa masjid dan surau di Perak yang membenarkan tempat mereka digunakan untuk aktiviti politik akan digantung jawatan.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang lalu, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Dato’ Asmuni Awi mengulangi peringatan agar rakyat taat dan akur dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan untuk berpolitik sebaliknya mahukan masjid dan surau kembali kepada fungsinya yang asal.

“JAIPk ingin menasihati seluruh masyarakat Islam di negeri Perak supaya akur dan menghormati titah DYMM Sultan agar tidak menjadikan Institusi masjid dan surau sebagai medan untuk berpolitik.

“Sebaliknya menjadikannya sebagai pusat ilmu, tempat melakukan ibadat dan menyatupadukan masyarakat,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (4)
  • comment-avatar
    ibnuhassn 9 months

    Surau tu adalah surau keluarga kami haji ahmad, didirikan oleh keluarga haji ahmad sendiri, atas tanah sendiri.. Bukan masjid yg bernaung bawah mjlis agama Islam perak pun.. X ada isu sebab salah guna..

    • comment-avatar
      PasBodo 9 months

      Tak payah nak bohong la. Semua surau masjid mesti dibawah tadbir urus majlis agama Islam. Bab mintak geran mengaku bawah pentadbiran negeri, bila buat gini baru nak elak

  • comment-avatar
    MOHAMMAD KAMIL PAUZI BIN MAHFUD 9 months

    Lepas ni pakat2 buat surau sendiri kmdn boleh buat mesyuarat parti politik kat dalam tu yea… Pecah belah masyarakat sungguh…

    Hormatilah nasihat Sultan Perak… Baginda kan ketua agama negeri Perak. Baginda kata jangan buat, tok sah buat…

  • comment-avatar
    JAMALUDIN BIN AB RAHIM 9 months

    Cerdik tak boleh diikut,bodoh tak boleh diajar…ini lah puak2 nya.Mohon DYMM Sultan Perak ambil tindakan tegas.

  • Disqus ( )