Usaha selesaikan masalah MAPS temui jalan buntu, ditutup mulai hari ini

Usaha selesaikan masalah MAPS temui jalan buntu, ditutup mulai hari ini

IPOH: Taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, ditutup mulai hari ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Usaha serius Kerajaan Negeri Perak menyelesaikan masalah dihadapi oleh taman tema tersebut yang ditinggalkan kerajaan terdahulu menemui jalan buntu.

Kerajaan Barisan Nasional Perak telah membangunkan MAPS dengan hutang yang begitu besar membabitkan nilai ratusan juta ringgit.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Segala kesulitan akibat penutupan MAPS amat dikesali, menurut notis berkenaan.

Pada 4 Dis tahun lalu, media tempatan melaporkan bahawa Affin Investment melantik Datuk Duar Tuan Kiat dari Messrs Ernst & Young sebagai penerima dan pengurus hartanah milik ATP, yang juga operator MAPS.

Isu ‘masalah’ MAPS ini telah dibangkitkan di dalam Persidangan DUN Perak tahun lalu oleh Adun Keranji, Chong Zhemin.

Adun Keranji, Chong Zhemin membangkitkan permasalahan MAPS di dalam Persidangan DUN Perak tahun lalu.

Zhemin yang juga Pengerusi Lembaga Audit Perak Corporation Bhd (PCB) yang merupakan pemegang saham terbesar MAPS menggesa Bekas Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry Abd Kadir menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap peningkatan kos pembinaan MAPS dari RM390 juta kepada RM607 juta.

Menurutnya, walaupun audit dalaman khas tidak menemui bukti penyelewengan atau penipuan, terdapat beberapa persoalan mengenai beberapa keputusan dan perjanjian berat sebelah yang boleh dibangkitkan.

Kata beliau, sebagai bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Dato’ Seri Zambry mempunyai kawalan langsung terhadap PCB, PCB Development Sdn Bhd (PCBD) dan Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), dan mesti menjelaskan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenaikan kos daripada MAPS.

“Paling mengejutkan jumlah RM607 juta itu adalah 57.21 peratus daripada Bajet Perak bagi 2019 yang berjumlah RM1.061 bilion.

“Jika dibuat perbandingan, RM42 bilion daripada skandal 1MDB adalah hanya 13.35 peratus daripada Bajet Negara yang berjumlah RM314.5 bilion,” katanya dalam satu kenyataan media.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu tetap berusaha untuk menyelamatkan taman tema tersebut.

Tahun lalu, Menteri Besar Perak itu berkata, MAPS akan terus beroperasi seperti biasa biarpun syarikat yang mengendali taman tema tersebut Animation Theme Park (ATP) Sdn Bhd gagal membayar balik bayaran prinsipal berjumlah RM25.7 juta kepada Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Investment).

Menurutnya, Perak Corporation Berhad (PCB) dan ATP yang merupakan anak syarikatnya akan berbincang dengan pihak bank berhubung perkara itu.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan membantu melaksanakan pelbagai usaha untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh taman tema tersebut yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Mereka telah membangunkan MAPS dengan hutang yang begitu besar membabitkan nilai ratusan juta Ringgit.

“Lebih setahun kita cuba untuk selamatkan MAPS ini. Hari ini kita telah kurangkan pekerja, mendapatkan pulangan hasil dan berjaya membayar gaji pekerja.

“Bagaimanapun sejak dua bulan lepas, kami tidak mampu membayar RM21 juta menyebabkan ‘default payment’ sehingga pihak bank mengambil tindakan,” katanya ketika ditanya media 10 Disember lalu.

MAPS dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017 dan bayaran tiada lagi dikenakan kecuali bayaran permainan sejak Pakatan Harapan memimpin Kerajaan Negeri Perak.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )