Jakim, SKMM bangun aplikasi ‘Smart Hadith’

Jakim, SKMM bangun aplikasi ‘Smart Hadith’

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membangunkan aplikasi Smart Hadith bagi memudahkan proses semakan dan carian hadis.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Paimuzi Yahya dalam kenyataan hari ini berkata dengan tema ‘Hadis Sahih di Hujung Jari’ aplikasi itu turut dibangunkan bagi memartabatkan hadis sebagai rujukan kedua selepas al-Quran.

“Projek aplikasi mudah alih yang ditanggung sepenuhnya oleh SKMM ini dilengkapi dengan fungsi carian, hadis harian, perkongsian maklumat ke media sosial, bookmark dan pertanyaan,” katanya.

Smart Hadith boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Apps Store, katanya.

Aplikasi itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bersempena Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia yang berlangsung semalam.

Menurut Paimuzi, aplikasi tersebut dapat membantu golongan sasaran seperti pendakwah, penyelidik, pensyarah dan pelajar serta meningkatkan kepantasan capaian terhadap maklumat yang disediakan.

Mengenai Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia, beliau berkata ia adalah usaha Jakim dalam merangka kerjasama strategik dengan jabatan mufti negeri bagi mendepani cabaran isu-isu semasa Islam.

Katanya objektif utama persidangan itu termasuk membincangkan dan menyelaras isu-isu pengurusan dan pembangunan institusi fatwa.

“Selain itu, memastikan pengurusan dan penyelarasan institusi fatwa sentiasa dikemas kini dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan memastikan jalinan koordinasi di antara kerajaan pusat dan jabatan mufti seluruh negeri dilaksanakan secara menyeluruh,” kata Paimuzi.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )