Penutupan MAPS: 265 pekerja diberi pampasan

Penutupan MAPS: 265 pekerja diberi pampasan

IPOH: Seramai 265 pekerja berstatus tetap dan kontrak yang diberhentikan serta-merta berikutan penutupan taman tema, Movie Animation Park Studios (MAPS) semalam, akan diberikan pampasan mengikut garis panduan Akta Pekerja 1955.

Dalam satu kenyataan bersama, Pengarah Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) Zadrul Insan Mustadza dan Yang Idros Yang Razali berkata keputusan menutup taman tema itu telah dibuat oleh pihak Penerima Dan Pengurus yang dilantik iaitu Messrs Ernst & Young, setelah pertimbangan mendalam.

Sehubungan itu, ATP yang merupakan pengendali MAPS telah mengambil tindakan proaktif dalam usaha untuk membantu pekerja dari pelbagai aspek termasuk menyediakan khidmat taklimat berkenaan pengurusan kewangan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Begitu juga penjelasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengenai tuntutan Sistem Insuran Pekerjaan PERKESO (SIP).

“Selain itu, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga turut sama hadir untuk memberikan bantuan kaunseling kepada pekerja,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, ATP juga telah bekerjasama dengan beberapa syarikat lain untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada pekerja terutamanya dalam bidang makanan dan minuman; khidmat pelanggan serta penyelenggaraan.

“Begitu juga kehadiran pihak Sunway Lost World Of Tambun, Swiss-Garden, Hovid, Taiko Group dan PCBL dalam membuka kaunter temu duga amat dihargai selain hebahan kekosongan jawatan melalui poster daripada beberapa syarikat kepada pekerja,” menurut kenyataan itu.

Kelmarin, pihak Penerima dan Pengurus ATP daripada Messrs Ernst & Young mengeluarkan notis penutupan taman tema yang dibangunkan pada kos RM520 juta sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

MAPS dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )