Proton City lokasi pertama 5G di Perak

Proton City lokasi pertama 5G di Perak

IPOH: Proton City, Tanjung Malim adalah lokasi pertama akan yang dilaksanakan kemudahan 5G di negeri Perak.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, ia akan mula dibangunkan seawal suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya telah diberi taklimat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang pelaksanaan ini.

“Semalam berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Perak, saya telah dimaklumkan oleh SKMM berhubung perkara ini.

“Saya telah diberikan taklimat oleh SKMM dan kalau ikutkan pada suku pertama tahun ini akan bermulalah projek 5G di daerah Muallim khususnya di kawasan Proton City,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Santuni Pelajar Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelapang Jaya di sini hari ini.

Hasnul menjelaskan, Proton City dipilih sebagai lokasi pertama setelah diambil kira beberapa faktor terutama perkembangan bandar automotif itu yang memerlukan kelengkapan 5G.

“Untuk pelaksanaan 5G ini ada kluster-kluster yang terpilih seperti di Langkawi atas faktor pelancongan dan di Terengganu kerana kaitan industri minyak dan gasnya.

“Di Perak ini keperluannya adalah di kawasan industri automotif iaitu di daerah Muallim,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )