Islam agama yang mempromosi kasih sayang, rahmah

Islam agama yang mempromosi kasih sayang, rahmah

IPOH: Gagasan Rahmatan lil alamin merupakan satu usaha besar yang menjadi fokus kerajaan pada hari ini.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Dato’ Asmuni Awi berkata, gagasan ini bukan sekadar satu slogan tetapi perlu dijadikan panduan dan objektif dalam melaksanakan tugas-tugas seharian.

Menurutnya, gagasan ini perlu difahami oleh setiap anggota masyarakat khususnya umat Islam agar Islam dirasai benar-benar membawa rahmat kepada sekalian alam.

“Saya amat yakin, kita semua sedar dan faham bahawa konsep dan gagasan Rahmatan lil alamin ini bukanlah sesuatu yang baharu.

“Mesej dakwah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.

“Islam merupakan agama yang mempromosi kasih sayang kepada semua makhluk Allah dan menjadi tanggung jawab umat Islam sebagai umat yang terbaik untuk menterjemahkan konsep Rahmatan lil alamin dalam kehidupan seharian supaya menjadi contoh kepada golongan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam program Executive Talk Jabatan Agama Islam Negeri di Dewan Saidina Abu Bakar, INTIM, Ipoh.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Dato’ Mohd Yusop Husin dan timbalannya, Harith Fadzilah Abd Halim.

Asmuni berkata, JAIPk sebagai agensi agama di negeri Perak ini seharusnya memainkan peranan yang besar secara lebih efisien dan teratur agar mesej Islam Sebagai Agama Rahmah ini sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

Katanya, usaha lebih gigih harus sama-sama lakukan untuk melayakkan kita memegang status khayra ummah.

“Sewajarnya umat Islam perlu menjadi model dalam penghayatan kasih sayang melalui konsep Rahmatan lil alamin agar menjadi dakwah bil hal (dakwah dengan contoh) kepada bangsa dan agama lain.

“Saya amat berharap agar perbincangan untuk mencapai khayra ummah dan menterjemahkan Rahmatan lil alamin ini menjadi agenda utama JAIPk bagi tahun 2020 ini.

“Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang retorik, merasakan diri kita adalah yang terbaik tetapi pada hakikatnya, kita tidak dilihat sebagai yang terbaik,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )