Kerajaan Perak sasar wujudkan Masjid Rahmah setiap daerah, berperanan bangunkan masyarakat

Kerajaan Perak sasar wujudkan Masjid Rahmah setiap daerah, berperanan bangunkan masyarakat

IPOH: Kerajaan Negeri Perak mensasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu contoh Masjid Rahmah bagi setiap daerah untuk tahun 2020 ini.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Dato’ Asmuni Awi berkata, Masjid Rahmah merupakan masjid yang berperanan membantu membangunkan masyarakat sama ada dari segi spiritual mahupun fizikal.

Katanya, Masjid Rahmah juga boleh diistilah sebagai masjid yang ‘mesra masyarakat’.

“Konsep Masjid Rahmah bertujuan menjadikan institusi masjid mengikut arus pemodenan supaya tidak ketinggalan daripada kehendak semasa, namun tidak mengubah kerangka asalnya sebagai tempat beribadat.

“Rahmah yang bermaksud ramah, aman, harmoni, mesra pelanggan, alami atau go green dan hormat, bakal menjadi model pusat kecemerlangan dan perubahan kepada dunia Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam program Executive Talk Jabatan Agama Islam Negeri di Dewan Saidina Abu Bakar, INTIM, Ipoh semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Dato’ Mohd Yusop Husin dan timbalannya, Harith Fadzilah Abd Halim.

Dalam usaha itu, Adun Manjoi itu berkata pihak pengendalian masjid perlu tampil progresif dan keluar daripada zon selesa dengan menampilkan program yang bermanfaat kepada orang Islam dan masyarakat.

Pihak pengurusan masjid katanya perlu menyusun atur program mengikut keperluan semasa supaya ilmu yang disalurkan itu, dapat dimanfaatkan.

“Kita mahu menerusi konsep Rahmah ini, semua pihak berasa selesa dan kasih terhadap masjid termasuk kumpulan yang selama ini menjauhkan diri daripada masjid mahu melakukan ibadah di masjid.

“Masjid juga mungkin menjadi pusat bank makanan bagi orang miskin untuk mendapatkan keperluan makanan.

“Masjid-masjid tidak seharusnya terikat dengan program-program ibadah dan kuliah semata-mata.

“Institusi masjid seharusnya dimasyarakatkan untuk menarik lebih ramai umat Islam mendekati masjid,” katanya.

Beliau menambah, Masjid Rahmah harus berfungsi sebagai pusat aktiviti masyarakat termasuk bersifat mesra kepada bukan Islam.

Jelasnya, program-program yang bersifat menyatukan masyarakat hendaklah diperbanyakkan supaya lebih banyak Masjid Rahmah dapat dilahirkan.

“Inilah contoh dakwah bil hal yang akan menarik minat golongan bukan Islam untuk mengetahui lebih mendalam berkenaan Islam.

“Ada masjid yang memiliki ratusan ribu ringgit di dalam bank, namun ahli khariah yang tinggal berhampiran masjid hidup dalam kedaifan.

“Kita boleh mengambil contoh-contoh baik daripada pelbagai masjid di seluruh negara untuk digabungkan elemen-elemen baik tersebut di dalam Masjid Rahmah,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )