Tol turun 18 peratus bermula hari ini, harga paling rendah sejak 1999

Tol turun 18 peratus bermula hari ini, harga paling rendah sejak 1999

KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, jutaan pengguna di semua lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan menikmati pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi penggunaan kenderaan persendirian.

Langkah mengurangkan kadar tol oleh kerajaan Pakatan Harapan itu akan menyaksikan kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km, lebih rendah berbanding tahun 1999 iaitu 11.24 sen/km.

Ini bermakna, pengguna lebuh raya dari tol Jalan Duta ke Alor Setar hanya membayar RM45.50 berbanding RM55.50, manakala dari tol Jalan Duta ke Skudai pula, kadar yang ditetapkan sekarang ialah RM38.50 berbanding RM47 sebelum ini.

Usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk manfaat rakyat itu diputuskan Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 15 Jan, dan Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menyebut bahawa langkah itu selaras dengan pengumuman yang dibuat pada Belanjawan 2020.

Pengguna lebuh raya PLUS juga boleh menarik nafas lega apabila kadar itu tidak akan meningkat sehingga tempoh konsesi tamat pada 2038.

Diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus itu akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di lebuh raya yang terlibat iaitu:

Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE)
Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE)
Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA)
Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2)
Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH)
Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE)
Diskaun itu juga akan digunapakai bagi kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Kerajaan yakin keputusan itu akan memberi banyak manfaat melalui pengurangan beban kadar tol dan pada masa sama membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.

Kerajaan juga tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS yang bakal menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi itu sekali gus penjimatan itu boleh digunakan oleh kerajaan untuk inisiatif yang menguntungkan rakyat.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )