Khairul Amir Mohamad Zubir dilantik YDP Taiping baharu

Khairul Amir Mohamad Zubir dilantik YDP Taiping baharu

TAIPING: Bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar (MDK), Khairul Amir Mohamad Zubir, 55, semalam telah mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping yang baharu.

Majlis angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong yang disaksikan ahli-ahli majlis perbandaran berkenaan.

Tempoh lantikannya sebagai Yang Dipertua MPT baharu berkuat kuasa bermula 21 Jan lepas.

Khairul Amir yang berasal dari Parit, Perak menggantikan Borhan Abdul Halim yang telah bersara pada 31 Dis tahun lepas.

Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah berkhidmat selama 33 tahun dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan jawatan terakhir sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar.

Khairul Amri juga sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa majlis daerah seperti Setiausaha Majlis Daerah Selama, Gerik dan Tapah serta Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian.

Sementara itu, Khairul Amir berkata jawatan yang disandang itu adalah satu amanah yang perlu dipikul dengan integriti dan tanggungjawab yang tinggi.

“Saya menaruh kepercayaan yang penuh terhadap pegawai dan warga kerja MPT untuk bekerja bersama-sama saya bagi meneruskan kecemerlangan ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di atas kepercayaan beliau kepada saya untuk menerajui sebuah PBT yang hebat ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )