Komunis: Dakwaan Musa Hassan satu fitnah liar, tegas DAPSY

Komunis: Dakwaan Musa Hassan satu fitnah liar, tegas DAPSY

IPOH: Tindakan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengaitkan DAP dengan Parti Komunis Malaya (PKM) merupakan tohmahan liar.

Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee berkata, dakwaan tersebut merupakan satu fitnah dan hasutan yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan Musa sebenarnya telah memalukan dirinya sendiri sebagai bekas pegawai tertinggi PDRM.

“Telah tular sebuah video ucapan Tan Sri Musa Hassan, mantan Ketua Polis Negara, yang membuat fitnah terhadap DAP yang mengaitkannya dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

“Fitnah itu dibuat ketika beliau memberi syarahan di Universiti Teknologi MARA dalam Wacana Isu Semasa mengenai Perjanjian Damai Hat Yai 1989.

“Jelas bahawa Tan Sri Musa telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai bekas Ketua Polis Negara untuk menyebarkan cerita khayalan.

“Malah, lebih memalukan lagi, beliau telah memburukkan imej, menghina serta menjatuhkan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan cerita palsu yang berniat jahat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, disini semalam.

Katanya, dakwaan jahatnya itu bukan fakta sejarah, sebaliknya fitnah yang sering dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu yang sentiasa menabur benci perkauman di negara ini.

“Sebagai peringatan, bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD yang masih hidup dan bermastautin di selatan Thailand, dalam satu wawancara media pada Disember tahun 2019 telah menafikan kaitan DAP dengan komunis.

“Malah, bagi pemimpin komunis itu dakwaan DAP komunis adalah ‘melucukan’ kerana baginya hanya PKM satu-satunya parti yang membawa ideologi komunis di Malaysia,” katanya

Beliau berkata bekas ketua polis negara itu juga telah melemparkan fitnah terhadap Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sdri Hannah Yeoh, yang didakwanya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

Tuduhan ini katanya sangatlah jahat yang boleh menimbulkan huru-hara, ia tidak boleh diterima sama sekali.

“Mungkin Tan Sri Musa lupa bahawa baru-baru ini, seorang pemimpin JMM, Azwanddin Hamzah terpaksa membuat permohonan maaf kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Sdr Liew Chin Tong kerana menuduhnya memakai “seragam komunis” sedangkan baju tersebut merupakan korporat bush jacket yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.

“DAP adalah parti berbilang kaum dengan keahliannya terbuka untuk setiap rakyat Malaysia tanpa ada had kaum atau agama seperti yang diamalkan oleh parti-parti politik yang lain.

“Amat menghairankan jika idea perpaduan kaum yang wujud melalui keterbukaan keahlian DAP ini langsung tidak disentuh oleh Tan Sri Musa,” katanya lagi.

Exco Kerajaan Negeri Perak itu berharap pihak polis dapat mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap tuduhan-tuduhan melulu beliau yang boleh menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )