Kerajaan Perak anjur ProTrek, beri ilmu usahawan kepada masyarakat

Kerajaan Perak anjur ProTrek, beri ilmu usahawan kepada masyarakat

IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah memperkenalkan Program Tranformasi Keusahawanan (ProTrek) dalam usaha menarik minat masyarakat di negeri ini menceburi bidang tersebut.

ProTrek telah dicetuskan oleh Dato’ Asmuni Awi yang merupakan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak untuk melahirkan usahawan-usahawan yang berjaya dan berkualiti.

Pengarah ProTrek, Salman Saleh berkata, melalui program ini para peserta akan diberi pendedahan tentang keusahawanan dan perniagaan melalui pelbagai aspek bermula daripada asas perniagaan hinggalah bagaimana untuk memasarkan perniagaan.

Katanya, program ini melibatkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan usahawan antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tekun Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Corporation Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Yayasan Perak.

“Agensi ini akan memberi taklimat tentang khidmat, insentif dan inisiatif yang ditawarkan kepada masyarakat yang ingin menceburi bidang perniagaan, mengembangkan perniagaan dan memasarkan produk yang telah dihasilkan.

“Melalui agensi ini, pelbagai peluang bantuan perniagaan ditawarkan, barangkali sebelum ini masyarakat tidak ada pendedahan dan tidak mengetahui pelbagai peluang bantuan yang telah ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar ProTrek Mahasiswa yang diadakan di Hotel Casuarine@Meru, semalam.

Pengarah ProTrek, Salman Saleh menyampaikan taklimat dalam program tersebut.

Dato’ Asmuni Awi turut memberi pengisian kepada peserta ProTrek Mahasiswa semalam.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata program seminar usahawan ini telah dianjurkan sebanyak tujuh kali melibatkan seluruh negeri Perak.

“Kami telah ‘branding’ program ini dengan nama ProTrek, pelbagai lagi program yang akan kami laksanakan dalam melahirkan usahawan yang berkualiti dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Sebelum ini kami juga telah mengadakan seminar khusus kepada golongan wanita dan hari ini kami menganjurkan khusus kepada golongan mahasiswa,” jelasnya.

Beliau berkata, Exco berkaitan iaitu Dato’ Asmuni Awi memberi fokus yang sangat tinggi dalam melahirkan usahawan yang berkualiti di negeri ini.

“Beliau (Asmuni) bukan mahu melihat kuantiti usahawan yang kita lahirkan, tetapi yang lebih penting ialah kualiti setiap usahawan tanpa mengira apa jua bidang dan produk.

“InshAllah, pelbagai lagi program akan kami laksanakan ke arah matlamat itu,” katanya. Perak Insights

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )