Kerajaan Perak kesal pembangkang terus polemikkan pelaburan GBS demi kepentingan politik

Kerajaan Perak kesal pembangkang terus polemikkan pelaburan GBS demi kepentingan politik

KERAJAAN Negeri Perak kesal dengan tindakan pembangkang yang terus mempolemikkan pelaburan industri Perkhidmatan Perniagaan Global atau Global Business Services (GBS) bagi kepentingan politik. Dakwaan salah seorang ADUN Pembangkang kononnya syarikat-syarikat pelabur GBS di Ipoh tidak beroperasi adalah sama sekali tidak benar.

Adalah dijelaskan di sini bahawa Syarikat Puncak Tegap Sdn. Bhd. (PTSB) beroperasi di Pejabat Tanah dan Galian Perak. Berdasarkan maklumbalas daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), pejabat PTSB di Greentown digunakan untuk operasi latihan bagi pengguna aplikasi e-Tanah untuk beberapa negeri di Malaysia, termasuk negeri Perak. Mereka juga membangunkan aplikasi berkaitan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti GBS. Sehingga bulan Januari 2020, pelaburan sebanyak RM115 juta telah direalisasikan dan 160 orang kebanyakannya terdiri dari warga negeri Perak telahpun mendapat pekerjaan manakala sebanyak 140 pekerjaan lagi dijangka akan diisi pada akhir tahun 2020.

Untuk makluman juga, satu lagi syarikat pelabur GBS, Revoluteq Sdn. Bhd. (Revoluteq) akan menyertai karnival kerjaya anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan diadakan di Politeknik Ungku Omar pada 11 Februari 2020. Pelan pengambilan graduan tempatan sebagai pekerja bagi syarikat ini adalah 11 orang bagi suku tahun pertama dan 34 orang sehingga pertengahan tahun ini. Revoluteq telah menyiapkan pejabat di Medan Bistari pada hujung Disember 2019 dan mula beroperasi pada 13 Januari 2020.

Sementara itu, dua syarikat pelabur GBS yang telahpun bertapak di AEON Falim adalah DigitalQ Solutions Sdn. Bhd. dan Teccsa Sdn. Bhd. DigitalQ Solutions telah menyiapkan pejabat pada Januari 2020 dan pengurus pejabat telahpun mula menyelaraskan operasi. Proses kerja-kerja mengubahsuai Teccsa dijangka selesai pada hujung Februari 2020. Kedua-dua syarikat ini mempunyai rancangan sumber manusia, yang mana pengambilan graduan tempatan sebagai pekerja akan meningkat setiap tahun, mengikut keperluan.

Syarikat Volgo Sdn. Bhd. yang menubuhkan pejabat di Greentown, Ipoh telah meningkatkan modal berbayar syarikat tersebut ke RM350,000. Volgo yang kini berada dalam proses membida untuk kontrak, akan mula mengambil pekerja tahun ini.
Penubuhan industri GBS di Ipoh hasil kerjasama Kerajaan Negeri Perak dengan NCIA sememangnya memberi impak yang signifikan melalui kemasukkan pelaburan swasta dan pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada ekonomi dan rakyat di negeri Perak serta NCER secara keseluruhannya.

Penyertaan syarikat-syarikat GBS di Ipoh dipacu oleh pihak swasta (private-driven) dan berdasarkan daya maju komersial. Inisiatif ini diterajui untuk menjana impak ekonomi yang ketara melalui pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi, teknologi terkini dan kesan-kesan limpahan yang membawa manfaat kepada ekonomi setempat. Pada tahun lepas, sebanyak lima (5) syarikat GBS telah memeteraikan memorandum persefahaman dengan komitmen pelaburan RM486 juta dan pewujudan pekerjaan sebanyak 1,500 untuk tempoh lima (5) tahun

Pelaburan dan unjuran pewujudan pekerjaan hasil penubuhan inisiatif GBS@Ipoh adalah untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang baharu bagi graduan-graduan di negeri Perak terutamanya generasi milenium untuk bergiat di dalam dunia ekonomi digital secara domestik dan global.

Usaha untuk menggiatkan industri ini adalah untuk menjadikan Ipoh sebagai destinasi GBS yang terbaharu selepas Cyberjaya, Georgetown dan Iskandar Malaysia. Ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat di wilayah ini, demi mengecapi kemakmuran bersama.

Kerjasama Kerajaan Negeri dengan NCIA dan penggiat industri GBS adalah sebahagian daripada usaha untuk memacu ekosistem ekonomi digital, khususnya dalam menyediakan pendapatan tinggi kepada rakyat serta mempertingkatkan lagi usaha menggalakkan pelaburan dalam industri teknologi tinggi. Maka, tenaga kerja terlatih perlu diwujudkan bagi menyokong dan memenuhi permintaan industri-industri semasa dan juga yang baharu.

Selain penyediaan tenaga kerja mahir dan infrastruktur yang kondusif, Taman Teknologi Perak di Ipoh akan menjadi pemangkin kepada industri berasaskan digital dan aktiviti pembuatan bernilai tinggi berteraskan elemen-elemen Industri 4.0. Ketersediaan perkhidmatan GBS di dalam taman ini turut akan bantu menyokong pertumbuhan dan perkembangan sektor-sektor berteknologi tinggi yang bakal beroperasi di taman teknologi ini.

NCIA, selaku pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menyediakan hala tuju dan untuk mempercepatkan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), telah merangka Pelan Pelaksanaan Strategik NCER 2021-2025 yang bertemakan “Kemakmuran Bersama Melalui Pembangunan Wilayah Seimbang”.

Pelan strategik ini memperincikan agenda pembangunan dalam sektor-sektor utama dengan menggariskan usaha-usaha transformatif yang dinamik dengan memanfaatkan kelebihan setiap negeri NCER. Negeri Perak disasar mencapai KDNK RM103 bilion menjelang 2025, dengan tumpuan khusus pada GBS dan pembangunan Taman Teknologi Perak akan menjadi pemangkin kepada industri-industri digital dan berasaskan pengetahuan.

Kerajaan Negeri Perak mengambil peluang ini untuk menyeru warga Perak agar menyokong usaha kerajaan dan memanfaatkan peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan dalam industri GBS.

Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk berkongsi maklumat mengenai perkembangan pelaburan dan operasi GBS di Perak. Justeru perbuatan mempolemikkan pelaburan GBS untuk kepentingan politik mesti dihentikan kerana ini akan memberi kesan kepada sentimen pelabur, sekaligus menjejaskan usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan di negeri ini.

Sekian, terima kasih.

 

YAB DATO’ SERI AHMAD FAIZAL BIN DATO AZUMU
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

(3 Februari 2020)

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )