Perak laksana projek pembangunan baharu susulan penutupan MAPS

Perak laksana projek pembangunan baharu susulan penutupan MAPS

IPOH: Perak akan melaksanakan beberapa projek pembangunan baharu bagi melonjakkan industri pelancongan negeri, susulan penutupan taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS), Selasa lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Tan Kar Hing mengakui penutupan MAPS yang dibuka sejak Jun 2017 dengan kos RM520 juta sedikit sebanyak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri ini.

“MAPS merupakan salah satu tarikan pengunjung tapi sekarang nampak akan ada kesan (kedatangan pelancong), namun kita akan cuba wujudkan beberapa pelan baharu ataupun tempat tarikan yang baharu di sekitar Ipoh.

“Mungkin juga akan ada tempat baharu di luar Ipoh yang mana kita boleh isi kekosongan. Ada beberapa projek pembangunan kita akan laksanakan namun itu kita akan umumkan kemudian,” katanya selepas meninjau persiapan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau berkata antara projek pembangunan yang dijangka dilaksanakan di sekitar Ipoh tahun ini adalah ‘Ipoh Light and Show’ dan ‘Digital Art Library’.

Sementara itu, merujuk kepada sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak di Eco Park 1, Bandar Seri Botani di sini Khamis ini, Tan berkata ia akan bermula dari pukul 6.00 petang sehingga 11 malam.

Katanya sambutan berbentuk karnival tepi tasik dengan tema ‘Sama-sama Gong Xi’ itu akan menampilkan tiga pentas iaitu pentas utama, pentas terapung atas air dan pentas mini, selain lebih 50 pengisian termasuk bengkel kebudayaan dan kesenian serta persembahan pentas pelbagai kaum.

“Persembahan tarian singa atas tiang, tarian naga LED, ‘Orang-orang Drum Theatre’, tarian ikan Pulau Pangkor dan opera Cina akan ditampilkan sebagai persembahan kemuncak majlis,” katanya sambil menambah sebanyak 5,000 cenderahati akan disediakan kepada pengunjung.

Tan berkata 1,000 lot parkir kenderaan disediakan, namun pengunjung juga boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan van perantara yang disediakan untuk ke sambutan itu.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )