JAIPk perlu main peranan didik masyarakat tangani berita palsu

JAIPk perlu main peranan didik masyarakat tangani berita palsu

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berperanan mendidik masyarakat khususnya umat Islam menangani penyebaran fitnah dan berita palsu.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Asmuni Awi berkata, kewujudan media-media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Youtube dan sebagainya sepatutnya digunakan untuk merapatkan hubungan silaturahim.

Namun kata beliau, ia telah disalahgunakan oleh sebahagian anggota masyarakat termasuk umat Islam untuk menyebarkan fitnah dan berita-berita palsu.

“Apa yang lebih menyedihkan, terdapat juga penyebar berita-berita palsu ini terdiri daripada golongan agamawan.

“Sehubungan itu, saya berharap agar JAIPk juga berperanan dalam mendidik masyarakat untuk menangani penyebaran fitnah dan berita-berita palsu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Executive Talk Jabatan Agama Islam Negeri di Dewan Saidina Abu Bakar, INTIM, Ipoh baru-baru ini.

Asmuni berkata, di sebalik kemajuan teknologi pintar yang menawarkan kemudahan dalam pelaksanaan tugas, individu juga perlu memiliki kemahiran dalam menapis berita yang diterima melalui internet.

Dalam perkembangan berkaitan, cabaran sebagai penjawat awam pada masa kini tidak dapat dinafikan semakin mencabar dan selari dengan peredaran masa dan teknologi.

Katanya, harapan dan ekspektasi daripada orang awam yang mahukan perkhidmatan awam kelas pertama sentiasa menjadi topik bualan dan rencana di media massa.

“Perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti menjadi harapan setiap anggota masyarakat.

“Dari segi Institusi agama Islam di negara kita, ia telah mengalami banyak peningkatan dari aspek bilangan tenaga kerja, pembangunan fizikal dan pertambahan kepakaran.

“Budaya kerja yang bertanggungjawab ini seharusnya dikekalkan agar institusi agama terus dihormati oleh masyarakat,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )