Nizar arah peguam segerakan tindakan muflis pada Razman

Nizar arah peguam segerakan tindakan muflis pada Razman

IPOH: Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengambil tindakan segera bagi mengisytiharkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, sebagai individu muflis.

Peguamnya, Mohd Fitri Asmuni, berkata langkah itu diambil susulan kenyataan Razman sendiri yang mengakui beliau tidak mempunyai kemampuan untuk membayar ganti rugi yang ditetapkan mahkamah kepada Mohammad Nizar.

“Saya diarahkan untuk teruskan dengan tindakan kebankrapan dalam tempoh segera,” katanya, lapor Malaysiakini.

Mohd Fitri yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang Pemuda AMANAH Nasional berkata, tiada lagi peluang atau lanjutan waktu dapat diberikan kepada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu.

“Kes mula di mahkamah sesyen, dia rayu ke mahkamah tinggi dan berakhir di mahkamah rayuan. Dah berakhir.

“Sekarang masuk peringkat lain pula iaitu peringkat pelaksanaan. Kalau dia nak lawan proses kebankrapan pun hanya secara teknikal saja,” jelasnya.

Untuk rekod, jika disabitkan muflis, Razman boleh hilang kelayakannya sebagai Adun.

Semalam Perak Insights melaporkan Razman Zakaria gagal membayar ganti rugi sebanyak RM200 ribu kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Adun Gunung Semanggol itu didapati bersalah memfitnah Mantan Menteri Besar Perak itu dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.

Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Datuk Dr Badariah Sahamid telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini yang memerintahkan Razman membayar RM200,000 kepada Nizar.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )