Rumah rakit penggerak tarikan baharu kaki pancing di Pantai Remis

Rumah rakit penggerak tarikan baharu kaki pancing di Pantai Remis

BERUAS: Rumah rakit Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) bakal menjadi tarikan agropelancongan terbaru di negeri ini selain menjadi tumpuan ‘kaki pancing’ untuk menginap ketika memancing di Kuala Sungai Jarum Mas berhampiran Bagan Panchor, Pantai Remis.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata rumah rakit itu mula dibina Penggerak pada 18 Jan 2018 menggunakan geran Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dengan kos RM200,000 sebelum siap sepenuhnya Februari tahun lalu.

Katanya rumah rakit itu terletak di atas tapak ternakan kerang dilengkapi dua unit rumah yang mempunyai bilik penginapan, dapur, ruang solat selain tempat memancing.

“Dua unit itu boleh memuatkan seramai 16 orang. Perjalanan menaiki bot mengambil masa lebih kurang 30 hingga 40 minit dari Jeti Kampung Panchor, Pantai Remis.

“Bekalan elektrik dibekalkan menggunakan generator dan bekalan air bersih dibawa dari luar untuk kegunaan pengunjung,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra dan Perasmian Rumah Rakit Penggerak di Arena Square Kampung Panchor di sini, hari ini.

Abdul Yunus berkata tempahan telah dibuka sejak 2 Jan lalu dan pelbagai pakej ditawarkan dengan harga berpatutan dan ia beroperasi pada setiap hari.

Katanya lokasi rumah itu strategik untuk pemancing tegar serta keluarga yang mahu beristirahat berlatarkan suasana laut yang aman dan tenang.

“Rumah rakit ini antara yang terbesar selain dua rumah rakit lagi iaitu di Pulau Pasir Hitam yang dikelolakan Persatuan Nelayan kawasan Sungai Tinggi dan di Segari oleh Persatuan Nelayan kawasan Manjung,” katanya.

Abdul Yunus berkata inisiatif Penggerak membangunkan rumah rakit itu dapat membantu mempromosi dan memajukan industri pelancongan Perak seterusnya berharap persatuan nelayan lain dapat mengadakan projek seumpama itu bagi meningkatkan pendapatan selain membangunkan sektor agropelancongan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )