Nizar tolak cek post-dated Razman, minta bayar hari ini!

Nizar tolak cek post-dated Razman, minta bayar hari ini!

IPOH: Wakil Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hari ini hadir ke pejabat peguam Dato’ Seri Nizar Jamaluddin untuk menyerahkan cek bayaran ganti rugi saman fitnah yang disabitkan ke atasnya.

Pesuruhjaya Pas Perak itu diwakili oleh beberapa orang tiba di pejabat Awi & Co di Ipoh pagi ini.

Peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri ketika dihubungi Perak Insights mengesahkan perkara tersebut namun beliau berkata cek tersebut bukan bertarikh semasa.

“Ya, ada wakil Razman Zakaria datang pagi ini ke pejabat saya, namun cek tersebut bertarikh 10 Februari 2020, bukan current date,” katanya.

Fitri katanya telah menghubungi anakguamnya iaitu Mohamamd Nizar untuk memaklumkan perkara ini.

“Dato’ Seri Nizar kata bayaran mestilah tarikh hari ini, bukan post-dated cheque seperti yang mereka hantar tadi.

“Jadi saya tidak boleh terima cek tersebut dari wakil Razman,” katanya.

Mohd Fitri turut memaklumkan bahawa beliau kini telah memulakan proses tindakan kebankrapan terhadap Razman.

“Ya, kami dah mula. Dalam proses, Insyallah,”katanya.

Dalam perkembangan sama, sebelum ini Razman telah memberi respon dengan berkata beliau tiada duit untuk membayarnya.

“Nak buat macam mana dah tak ada duit, tapi hutang tetap kena bayar. Saya akan bayar tapi tak tahu bila lagi,” katanya, lapor Malaysiakini.

Kelmarin Perak Insights telah melaporkan bahawa Razman telah gagal membayar ganti rugi sebanyak RM200 ribu kepada Mantan Menteri Besar Perak itu yang sepatutnya dibayar pada 29 Januari 2020.

Adun Gunung Semanggol itu didapati bersalah memfitnah Mantan Menteri Besar Perak itu dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )