Pembangkang gadai peluang anak-anak Perak demi kepentingan politik?

Pembangkang gadai peluang anak-anak Perak demi kepentingan politik?

Oleh HOWARD LEE CHUAN HOW

Saya amat bersyukur apabila pembangkang cuba memainkan peranan semak dan imbang dengan membangkitkan lagi isu pelaburan dan peluang pekerjaan yang telah dan bakal dibawa oleh lima buah syarikat penggiat industri perniagaan global (GBS).

Walaupun begitu, malang sekali apabila tuduhan mereka tidak langsung mencerminkan hasrat mahu membawa manfaat kepada rakyat. Apakah pembangkang hanya hendak mengaut keuntungan politik dengan menggadai peluang-peluang anak-anak muda di Perak?

Ataupun mereka semata-mata hendak melakukan sabotaj ekonomi terhadap kerajaan negeri yang hendak membawa pelaburan dan memacu ekosistem ekonomi digital?

Adakah pihak pembangkang hendak menghalau pelabur-pelabur baru yang hendak dan sudah mewujudkan peluang pekerjaan bagi graduan-graduan negeri Perak?

Sudah-sudahlah dengan telatah politik pembangkang yang bukan saja tidak menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan baru bagi belia kita, malah mengancam peluang-peluang yang sudah kerajaan bawa.

Tindak-tanduk sebegini juga sebenarnya hanya mahu menggugat kestabilan ekonomi yang telah diusahakan demi golongan belia dan graduan negeri Perak.

YAB Menteri Besar telah pun menjawab secara terperinci berkenaan dengan tenaga kerja sedia ada, peluang pekerjaan jangka masa pendek, serta perancangan sumber manusia jangka masa sederhana 5 buah syarikat pelaburan GBS ini.

Suka saya ingin menjawab tuduhan pembangkang tentang status ruang pejabat Lokasi Syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd di Greentown yang kononnya tidak wujud. Lokasi yang dilawat secara mengejut itu merupakan pusat latihan yang hanya digunapakai sekiranya terdapat latihan-latihan berkaitan projek e-Tanah bersama dengan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah yang terbabit.

Sekiranya tiada latihan, kakitangan akan bekerja dari Pejabat Tanah Perak atau kembali ke Ibu Pejabat PTSB di Petaling Jaya. Sama sahaja seperti ADUN Pembangkang tersebut tidak akan ditemui Dewan Undangan Negeri di luar waktu persidangan.

Di dalam video tuduhan tersebut juga, pintu ke pejabat PTSB kelihatan usang kerana pintu tersebut bukanlah akses utama ke pejabat. Terdapat akses lain melalui lif yang tidak diperiksa oleh YB pembangkang. Setakat ini, proses pemindahan pejabat PTSB ke AEON Falim juga masih di dalam perbincangan bersama pihak NCIA.

Saya harap penerangan ini dapat melegakan sedikit kerisauan YB pembangkang. Namun, saya tidak pasti hasrat sebalik ‘pendedahan’ pembangkang ini berniat baik atau tidak; tetapi saya akan sentiasa bersangka baik.

Sekiranya YB Pembangkang sudi, pengurusan syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd juga bersedia menerima kehadiran lawatan dengan hanya menulis sepucuk surat permohonan. Saya percaya kehadiran ADUN-Adun pembangkang adalah amat dialu-alukan, mungkin kali ini lawatan pembangkang akan lebih membawa manfaat kepada rakyat. .

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada YB pembangkang atas keprihatinan, kesudian dan percubaan – walaupun gagal – untuk menjadi pembangkang yang baik. Cuma, hormatilah pelabur kita dengan menulis sepucuk surat terlebih dahulu sekiranya hendak melawat.

————–
• Penulis adalah merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan & Pembangunan Modal Insan Negeri Perak

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )