Sultan Perak berangkat ke majlis makan malam penaja WCIT 2020

Sultan Perak berangkat ke majlis makan malam penaja WCIT 2020

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menghadiri majlis makan malam penghargaan penaja dan pelancaran Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2020) di Casuarina @Meru, di sini, semalam.

Ketibaan baginda diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pro Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, Naib Canselor USAS Tan Sri Dr Nordin Kardi, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim dan barisan exco kerajaan negeri.

Sultan Nazrin yang meluangkan masa lebih satu jam pada majlis itu, turut berkenan menyaksikan persembahan nyanyian oleh Sekolah Seni Malaysia Perak Sungai Siput sebelum baginda menyempurnakan gimik pelancaran WCIT 2020 serta penyerahan replika cek daripada para penaja kepada Nordin.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata WCIT 2020 wajar dijadikan medan kepada para ilmuan merungkai kesalahan dan kesilapan umat Islam masa kini sehinggakan imej Islam sebagai agama sejahtera dan relevan sepanjang zaman, semakin terhakis.

Beliau juga berharap agar WCIT 2020 akan menemukan penyelesaian dan pelan tindakan bagi menegakkan gagasan Rahmatan lil Alamin lebih-lebih lagi ketika berdepan pelbagai cabaran antaranya perubahan drastik geopolitik dunia, penyebaran wabak penyakit serta perubahan iklim.

“Slogan-slogan retorik dan penampilan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, ia menuntut kepada kita untuk kembali kepada asas-asas Islam yang sebenar dalam merangka penyelesaian,” katanya.

WCIT 2020 kali ke-enam anjuran USAS yang bertemakan Perkongsian Tentang Kemanusiaan akan berlangsung dari 9 hingga 11 Mac depan dengan 23 penaja antaranya kerajaan negeri, Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, Menteri Besar Incorporated, Bank Islam Malaysia Berhad dan Proton Edar Sdn Bhd.

Penganjuran WCIT 2020 adalah untuk mencari penyelesaian yang pragmatik dan praktikal terhadap masalah sosio-ekonomi, sosiopolitik, sosio-agama dan sosio budaya yang sedia ada.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )