WCIT 2020 medan perbincangan, merungkai masalah umat Islam

WCIT 2020 medan perbincangan, merungkai masalah umat Islam

IPOH: Persidangan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2020) wajar dijadikan medan kepada para ilmuan untuk membincangkan permasalahan umat Islam semasa.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata, platform ini wajar dijadikan ruang untuk merungkai di manakah salah dan silapnya umat Islam masa kini sehinggakan imej Islam sebagai agama sejahtera dan relevan sepanjang zaman semakin terhakis.

Katanya, Persidangan WCIT 2020 dengan tema ‘Perkongsian Tentang Kemanusiaan’ pastinya bakal mengupas isu dan cabaran dalam merungkai definisi sebenar Islam sebagai agama pembawa rahmat kepada seluruh alam.

“WCIT telah berperanan sebagai wadah yang berkesan agar harapan ini benar-benar terlaksana.

“Oleh itu, bagi pihak kerajaan DYMM Tuanku, patik berikrar akan terus menyokong penganjuran WCIT, sambil menyeru kepada Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri Perak untuk turut sama memberi sokongan penuh kepada WCIT pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan Majlis Makan Malam Penghargaan Penaja dan Pelancaran The 6th World Conference on Islamic Thought and Civilization (WCIT2020) di Casuarina@Meru semalam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Penghargaan Penaja sekaligus melancarkan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2020) kali ke-6.

Persidangan WCIT 2020 kali ke-6 yang bakal dianjurkan pada 9 hingga 11 Mac ini.

Ahmad Faizal menjelaskan, Kerajaan Negeri Perak berharap agar WCIT 2020 akan menemukan solusi dan pelan tindakan bagi menegakkan gagasan Rahmatan lil ‘Alamin.

Katanya, adalah menjadi kewajipan para pemimpin, ilmuan dan setiap umat Islam untuk mengangkat gagasan Rahmatan lil ‘Alamin sebagaimana jalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad.

“Perubahan drastik geopolitik dunia, penyebaran wabak penyakit, ancaman perubahan iklim adalah cabaran yang jelas lagi nyata.

“Slogan-slogan retorik dan penampilan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya ia menuntut kepada kita untuk kembali kepada asas-asas Islam yang sebenar dalam merangka penyelesaian,” katanya.

Beliau mengharapkan semoga WCIT 2020 ini akan membuahkan hasil dalam mengembalikan Islam sebagai agama Rahmatan lil ‘Alamin dalam dunia yang semakin mencabar ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )