Kerajaan Perak pupuk minat seni dan budaya dalam kalangan belia

Kerajaan Perak pupuk minat seni dan budaya dalam kalangan belia

IPOH: Kerajaan Negeri Perak bakal melaksanakan program pembangunan belia melalui aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata melalui Youth Development Program 2020, kerajaan negeri akan melaksanakan program seni dan tarian anak-anak muda.

Katanya, program ini akan berlangsung sepanjang April hingga September tahun ini di pelbagai lokasi di sekitar Ipoh dengan memfokuskan kepada golongan belia berumur 13 hingga 19 tahun..

“Pada setiap hari Sabtu jam 4-6 petang bermula daripada bulan April sehingga September tahun ini, pelbagai lokasi di Ipoh akan digegarkan dengan seni dan tarian anak-anak muda daripada Youth Development Program 2020.

“Program seperti ini sememangnya selaras dengan kehendak Kerajaan Negeri Perak dalam mempromosikan kepentingan industri kreatif dan meneroka lebih lanjut potensi pengaruh seni dalam ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan semalam.

Menurutnya, program ini akan dibimbing sepenuhnya oleh lagenda seni dan tarian Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim yang dikenali kewibawaan dan kejayaannya.

Katanya, Ramli adalah seorang penerima pengiktirafan UNESCO ‘Living Teasure’ dan penerima anugerah Padma Shri.

“Pastinya, kita akan dihidangkan dengan pengalaman seni dan tarian dari perspektif yang amat berbeza. Ini adalah satu titik mula,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri sangat menggalakkan usaha untuk mengangkat seni dan kebudayaan.

“Kerajaan negeri sangat menggalakkan usaha daripada sesiapa sahaja yang mengangkat seni dan budaya bukan sahaja meliputi seni tarian malah pelbagai jenis kesenian.

“Dalam masa yang sama kami ingin mengetengahkan ekonomi kesenian ini yang mana jika dilihat pada media-media massa, ramai yang telah berjaya apabila terlibat dalam dunia seni secara profesional,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )