Kerajaan Perak serius tangani Coronavirus, bincang dalam MMK

Kerajaan Perak serius tangani Coronavirus, bincang dalam MMK

IPOH: Kerajaan Negeri Perak memandang serius penularan Novel Coronavirus 2019-nCoV yang sedang melanda dunia ketika ini.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata perkara tersebut telah dibincangkan secara serius dan teliti dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak yang bersidang semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri telah bersetuju agar ciri-ciri kawalan harus dijalankan dengan ketat dan teliti.

“Di seluruh Perak, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah dipilih sebagai hospital rujukan bagi merawat kes penyakit ini memandangkan ianya merupakan hospitar pakar tunggal di negeri ini.

“Tetapi kelima-lima hospital besar di Perak seperti Hospital Taiping, Hospital Teluk Intan, Hospital Manjung, Hospital Slim River dan Hopital Batu Gajah akan menerima pesakit pesakit ini dan merujuk ke HRPB bagi rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sivanesan berkata, sebagai Exco yang bertanggungjawab beliau telah meminta peruntukan sebanyak RM 140 ribu bagi membeli dua unit mesin pengesan haba (Thermal Scanner) yang akan digunakan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTAS) Ipoh serta di Kastam dan Imigresen Check Point di Pengkalan Hulu.

“Majlis Mesyuarat Negeri Perak telah meluluskan peruntukan ini dan peralatan tersebut akan dibeli di dalam tempoh masa 10 hari.

“Selain daripada mengesan penyakit yang ditakuti oleh masyarakat dunia pada hari ini alatan ini juga boleh digunakan bagi mengesan penyakit demam yang lain contohnya seperti penyakit SARS dan penyakit MERS,” kata Adun Sungkai itu.

Sehingga semalam dimaklumkan seramai 28, 547 orang pesakit telah dikesan di seluruh dunia dengan melibatkan kematian seramai 557 orang manakala seramai 989 orang telah sembuh dari serangan penyakit ini.

Di Malaysia sebanyak 12 kes telah dikesan dimana 3 orang pesakit yang dijangkiti adalah merupakan warganegara Malaysia manakala selebihnya ada warganegara china dan seorang daripadanya telah sembuh di Langkawi setelah menerima rawatan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )