Pelbagai kaum memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina Perak

Pelbagai kaum memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat negeri Perak yang berlangsung malam tadi.

Program yang diadakan di Eco Park, Bandar Sri Botani Eco Park itu dihadiri lebih 10 ribu orang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum yang bersama-sama meraikan sambutan perayaan kaum tionghua tersebut.

Turut berangkat ke majlis tersebut Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Zulkarnain Sultan Idris Iskandar dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan seluruh Exco Kerajaan Negeri turut hadir memeriahkan majlis yang berlangsung dengan penuh gilang gemilang itu.

Pengerusi majlis sambutan, Tan Kar Hing dalam ucapan aluannya berkata sambutan pada tahun ini yang bertemakan ‘Sama-Sama Kongsi’ yang memberi maksud yang sangat mendalam dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Ayat ‘Sama’ membawa maksud tiada bezanya, setaraf dan seimbang, serta adil dan saksama manakala ayat ‘Sama-Sama’ membawa maksud semua sekali, bersatu, kesyukuran dan balasan ucapan terima kasih.

Maka, tema “Sama-Sama” membawa maksud kita semua harus mengukuhkan semangat perpaduan setiap warga,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri itu.

Beliau berkata, program yang berkonsep dan bertemakan “Sama-Sama” telah pun digunakan bagi program-program sempena sambutan Bulan Kebangsaaan sejak tahun 2018 lagi antaranya “Sama-Sama Ria, “Sama-Sama Play, “Sama-Sama RIUH”, “Sama-Sama Drum”.

Ini katanya sebagai usaha kerajaan negeri untuk sentiasa mengingati bahawanya pentingnya perpaduan antara kaum, dan semangat kekeluargaan.

Kredit foto: Pior.tv

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )