Rosmah arah saya cepatkan kelulusan projek tenaga solar – Bekas menteri

Rosmah arah saya cepatkan kelulusan projek tenaga solar – Bekas menteri

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mendedahkan di Mahkamah Tinggi semalam bahawa Datin Seri Rosmah Mansor mengarahkannya mempercepatkan proses kelulusan projek membekalkan tenaga solar hibrid kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Mahdzir, 59, berkata oleh kerana Rosmah sendiri bercakap dengannya, beliau merasakan perlu mengambil serius terhadap arahan itu kerana Rosmah adalah isteri Perdana Menteri yang berpengaruh dan berautoriti.

“Autoriti Datin Seri Rosmah terbukti apabila beliau sebagai isteri Perdana Menteri berani mengarahkan saya sebagai Menteri Pendidikan untuk ‘tengokkan’ dan ‘cepatkan sikit’ projek solar hibrid Jepak Holdings,” katanya pada hari kedua perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Rosmah berhubung projek solar itu.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata Rosmah sendiri pernah menunjukkan kepentingan beliau dalam projek solar hibrid kepadanya.

Membacakan penyataan saksinya, Mahdzir berkata insiden itu berlaku pada malam 23 Jun 2016, selepas jamuan berbuka puasa di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

“Semasa saya bersalam dengan Datin Seri Rosmah sebelum beredar balik, beliau telah memberitahu saya lebih kurang “you tengok la projek solar Cikgu Aazmey. Cepatkan sikit”. Saya sekadar menjawab lebih kurang “Ya, ya” sahaja kerana banyak orang pada masa itu.

Apa yang saya faham daripada mesej Datin Seri Rosmah adalah beliau mengarahkan saya untuk mempercepatkan proses kelulusan projek solar hibrid kepada Jepak.

Insiden ini telah mengukuhkan kepercayaan saya mengenai penglibatan Datin Seri Rosmah dalam “team Saidi” seperti mana yang pernah diberitahu oleh Saidi kepada saya sebelum ini,” katanya.

Saidi Abang Samsudin adalah Pengarah Urusan Jepak Holdings.

Mahdzir berkata beliau tahu “Cikgu Aazmey” yang dimaksudkan ialah Datuk Aazmey Abu Talib iaitu Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Pahang dan juga bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang.

Katanya Rosmah tidak pernah menghubunginya untuk projek-projek kerajaan yang lain sebelum ini kecuali berkenaan projek solar hibrid dan program PERMATA sahaja.

Mahdzir berkata beliau juga mendapat tahu bahawa pihak Jepak menghantar surat kepada Najib yang kemudian memajukannya kepada Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan untuk mempercepatkan proses kelulusan pelantikan secara rundingan terus projek solar hibrid.

“Saya juga mendapat tahu bahawa Datuk Seri Najib telah memberikan arahan kepada Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada masa itu bagi tujuan yang sama.

Bagi saya, ini menunjukkan Datuk Seri Najib memberikan layanan kepada pihak Jepak dan seolah-olah tidak memberi kepercayaan kepada Kementerian Pendidikan dalam memproses permohonan projek solar hibrid,” katanya.

Beliau berkata pada 1 Nov 2016, beliau dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan Kementerian Pendidikan untuk berunding terus dengan Jepak.

Mahdzir berkata pada 8 Nov 2016, beliau telah menerima arahan daripada Najib untuk mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada Jepak melalui catatan minit pada surat Jepak bertarikh 6 Nov 2016 yang diiringi dengan satu surat Pejabat Perdana Menteri.

“Ini adalah surat Pejabat Perdana Menteri bertarikh 8 Nov 2016 yang disebut oleh saya. Saya mengesahkan isi kandungan surat ini adalah sama seperti surat yang diterima dan diambil tindakan oleh saya. Saya menerima kedua-dua surat ini di pejabat saya.

Merujuk kepada surat Jepak bertarikh 6 Nov 2016, saya mengesahkan Datuk Seri Najib telah membuat catatan minit di bahagian atas sebelah kanan surat tersebut.

Minit tersebut ditujukan kepada saya dengan arahan. “Sila keluarkan SST (LOA) untuk projek berdasarkan surat Jepak Holdings dengan segera”. Minit tersebut turut ditandatangani oleh Datuk Seri Najib. Saya mengecam tulisan tangan dan tandatangan Datuk Seri Najib kerana saya biasa melihatnya,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan pemahamannya, Najib telah mengarahkannya mengeluarkan SST untuk pelaksanaan projek solar hibrid kepada Jepak dengan serta-merta berdasarkan cadangan dalam surat Jepak.

“Apabila saya menerima surat itu saya berasa seperti ditekan oleh “team Saidi “ untuk mengeluarkan SST kepada Jepak dengan kadar segera.

“Team Saidi” yang dimaksudkan saya adalah terdiri daripada Saidi, Rayyan (Rayyan Radzwill Abdullah iaitu rakan perniagaan Saidi) Datin Seri Rosmah, Datuk Rizal Mansor dan Datuk Aazmey,” katanya.

Saksi itu menjelaskan pada petang 9 Nov 2016, beliau berjumpa Najib di ruang legar bilik mesyuarat kabinet di bangunan Perdana Putra, Putrajaya dan menasihatkannya supaya menangguhkan pengeluaran SST kepada Jepak kerana terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi oleh Jepak dan Kementerian Pendidikan namun tidak diendahkannya.

Rosmah, 68, didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )