17 jawatan Ketua Bahagian Bersatu Perak ditandingi

17 jawatan Ketua Bahagian Bersatu Perak ditandingi

IPOH: Sebanyak 17 daripada 24 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak bakal berentap merebut jawatan ketua bahagian dalam pemilihan parti yang dijangka bermula 15 Feb hingga 29 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Perak, Saiful Adli Mohd Arshad berkata tujuh lagi bahagian iaitu Tambun, Kuala Kangsar, Bagan Datuk, Batu Gajah, Ipoh Timur, Padang Rengas dan Taiping menyaksikan penyandang sedia ada menang tanpa bertanding.

“Bahagian Bagan Serai menyaksikan pertandingan paling ramai bagi merebut jawatan itu iaitu lima penjuru diikuti Bahagian Lumut, empat penjuru,” katanya pada sidang media pengumuman calon-calon Bersatu di Pejabat Bersatu Perak, di sini, semalam.

Terdapat dua ketua bahagian yang tidak mempertahankan jawatan iaitu di Bahagian Tanjung Malim dan Bahagian Bukit Gantang.

Beliau berkata tiada sebarang pertandingan di semua peringkat Bersatu Bahagian Tambun dan Bagan Datuk pada pemilihan kali ini.

Selain itu, 1,225 daripada 28,000 anggota Bersatu Perak telah menawarkan diri bertanding di peringkat bahagian, srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada penggal kali ini.

“Daripada jumlah berkenaan, 535 individu bertanding di peringkat bahagian, 372 di peringkat srikandi dan 318 melibatkan Armada,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saiful Adli berkata mana-mana anggota Bersatu Perak bebas mengemukakan sebarang rayuan atau bantahan mengenai pemilihan kali ini kepada JPP pusat berkuat kuasa hari ini sehingga 14 Feb.

“Rayuan sekiranya nama mereka tiada atau telah digugurkan kerana mungkin tidak cukup syarat untuk bertanding serta bantahan kepada pencalonan boleh dipanjangkan kepada JPP pusat melalui emel jpp.bersatu@gmail.com,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )