JAIPk sokong program perpaduan kaum, namun perlu ikut peraturan

JAIPk sokong program perpaduan kaum, namun perlu ikut peraturan

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menegaskan bahawa acara yang berlangsung dalam kawasan masjid dan surau wajib menghormati sensitiviti umat Islam dan orang Melayu, serta tidak bercanggah dengan tatasusila adab Melayu yang menghormati tempat ibadah.

Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin berkata pihaknya tiada halangan malah menyokong dan menggalakkan penganjuran program-program yang bertujuan untuk menyuburkan perasaan muhibah, meningkatkan kefahaman antara agama, kaum, budaya, serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Kemuliaan masjid dan surau hendaklah dipulihara bersandarkan adab yang digariskan oleh agama Islam dan adat tatasusila yang ditetapkan mengikut budaya Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd Yusop mengulas mengenai program sambutan Tahun Baharu Cina di Surau Al-Qamar di Taman Pengkalan Hulu Utama 1 Februari lalu.

Mohd Yusop berkata sehari sebelum sambutan, pihaknya selepas mendapat maklumat mengenai acara itu telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Surau dan dimaklumkan surau berkenaan mengadakan sambutan Hari Raya pada setiap tahun dengan menjemput tetamu daripada pelbagai bangsa dan agama untuk memupuk perpaduan.

Mohd Yusop berkata semasa sambutan Tahun Baharu Cina itu antara acara diadakan di kawasan surau termasuk tarian singa, membakar mercun, ucapan pimpinan sehingga mencetuskan reaksi negatif dan kemarahan dalam kalangan masyarakat Melayu selain bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak JAIPk.

Katanya peringatan telah dikeluarkan oleh JAIPk bahawa kawasan surau tidak boleh digunakan bagi apa-apa program yang berunsur mengembangkan pengaruh politik kepartian dan ahli-ahli politik tidak dibenarkan untuk menyampaikan sebarang ucapan dalam kawasan surau.

“Pengerusi jawatankuasa surau telah menghantar surat permohonan maaf kepada Pengarah JAIPk kerana telah gagal mematuhi nasihat JAIPk serta mengakui kesilapan yang dilakukan Jawatankuasa Surau Al-Qalam pada Rabu lepas dan laporan lengkap kejadian akan dibentang dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang akan datang.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )