Kes kedua koronavirus sembuh di Malaysia<br />Berita

Kes kedua koronavirus sembuh di Malaysia
Berita

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pesakit ke-4 yang dijangkiti Virus Novel Corana 2019 telah sembuh sepenuhnya dan ia merupakan kes kedua koronavirus sembuh di Malaysia.

Sebelum ini seorang kanak-kanak perempuan warga China di Langkawi yang sebelum ini positif coronavirus (2019-nCoV), didapati pulih dan bebas sepenuhnya daripada jangkitan.

Ia adalah kes pertama membabitkan individu disahkan positif coronavirus yang pulih daripada jangkitan itu di Malaysia.

Dalam kenyataannya di Facebook Datuk Dr Noor Hisham berkata, pesakit bagi kes ke-4 itu telah dimasukkan ke hospital pada 24 Januari 2020 dengan gejala demam panas dan radang paru-paru (pneumonia).

“Keadaan pesakit bertambah tenat pada hari kedua di wad isolasi Hospital Permai, Johor Baru sehingga memerlukan bantuan oksigen.

“Kajian X-ray dada pada hari ke empat menunjukkan tanda-tanda jangkitan bertambah tenat. Pihak hospital telah memulakan rawatan dengan ubat antiviral Kalestra (off-label use) pada 28 Januari 2020. Selepas 8 hari rawatan, keadaan pesakit bertambah baik dan telah sembuh sepenuhnya,” kata beliau dalam satu kenyataan melalui Facebook hari ini.

Kata beliau lagi, terkini keputusan ujian ulangan kali ketiga didapati negatif, selepas ujian pertama dan kedua juga didapati negatif. Pesakit seterusnya akan dibenarkan pulang pada petang ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan yang diketuai oleh Dr Masliza Zaid, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit.

“Jasa dan bakti anda semua amat dihargai,” katanya.

Lewat petang tadi, berhubung koronavirus, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan kes yang disahkan positif di negara ini adalah 16, kes yang disahkan negatif 495 dan kes yang masih menunggu keputusan makmal adalah 28.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )