Lenggong lokasi pertama siri Kempen Perak Kembali Gemilang, platform sebar maklumat

Lenggong lokasi pertama siri Kempen Perak Kembali Gemilang, platform sebar maklumat

IPOH: Kempen Perak Kembali Gemilang merupakan salah satu kempen peringkat negeri yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman, sokongan dan penglibatan masyarakat terhadap dasar dan halatuju Kerajaan hari ini.

Ketua Unit Komunikasi Strategik Negeri Perak, Ismail Jamal berkata, kempen ini adalah  berkonsepkan karnival mini dimana terdapat pameran agensi dan jabatan kerajaan serta gerai jualan usahawan daerah untuk memperkenalkan produk-produk tempatan.

Selain itu, katanya kempen ini sebagai usaha memurnikan dan melestarikan keharmonian pelbagai kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Sikh, Siam, Orang Asli dan lain-lain dengan melibatkan NGO-NGO berkaitan yang juga akan mengadakan persembahan.

“Kempen Perak Kembali Gemilang ini terdiri daripada 12 siri yang melibatkan 12 daerah didalam negeri Perak.

“Bagi siri pertama tahun 2020, kami memilih
Lenggong dibawah Daerah Hulu Perak sebagai lokasi pertama kerana keunikan
lokasi ini yang juga terletak di luar bandar.

“Bersesuaian dengan objektif kempen iaitu fokus kepada penyampaian dasar dan halatuju Kerajaan Negeri Perak yang menjurus kearah pembangunan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Ismail berkata, program tersebut akan berlangsung pada 9 Februari ini di Teratak Kapten Rosli, Lenggong bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Program ini katanya akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Bagi program di Lenggong, Ismail berkata pihaknya bekerjasama dengan Lenggong TV dan Kelab Sahabat Sayangi Lenggong selaku NGO yang bertindak sebagai agen penerangan di daerah tersebut serta berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Antara program menarik yang disajikan ialah seperti kenduri rakyat, sukan rakyat dan tradisional kesenian kebudayaan pelbagai kaum.

Selain itu, katanya rakyat boleh mengetahui dengan lebih jelas tentang insentif dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak malah mereka boleh terus memohonnya.

“Saya jemput seluruh rakyat khususnya di kawasan Lenggong dan berdekatan untuk bersama-sama memeriahkan program ini.

“Satu pengalaman berharga yang akan dapat dirasai sekiranya anda datang ke program yang sangat menarik ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )