Usahawan perlu manfaat dana RM105 juta Tekun Nasional

Usahawan perlu manfaat dana RM105 juta Tekun Nasional

KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyediakan sebanyak RM105 juta dana kepada usahawan pada tahun ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor.

Beliau berkata pada masa yang sama, pihaknya berharap agar usahawan yang meminjam dana dengan agensi itu dapat membayarnya dalam masa yang telah ditetapkan agar dapat membantu usahawan lain yang memerlukan bantuan modal perniagaan.

“Kita sasar untuk mengutip kira-kira RM205 juta dana yang telah dipinjamkan pada tahun ini.

“Oleh itu, tinggi harapan kami supaya peminjam terdahulu terbuka hati untuk melakukan pembayaran semula hutang-hutang mereka bagi membolehkan kami mendapat dana untuk disediakan kepada usahawan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan premis Ar Rahnu TEKUN Nasional Cawangan Tanah Merah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Supardi berkata pihaknya perlu bekerja keras dengan menggunakan segala sumber yang ada bagi melaksanakan dasar keusahawanan negara dalam tempoh 10 tahun.

“Kita akan memperbanyak lagi inisiatif sepanjang tempoh itu bagi menarik lebih ramai masyarakat di negara ini untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Mengulas mengenai Ar Rahnu TEKUN Nasional cawangan Tanah Merah, beliau berkata premis berkenaan mula beroperasi pada 6 Jan lepas dengan memberikan perkhidmatan pembiayaan melalui gadaian emas kepada orang ramai.

“Pembiayaan itu mengetengahkan elemen pembiayaan mikro pajak gadai Islam yang patuh syariah dan ia merupakan satu daripada usaha pihak kami untuk membantu usahawan-usahawan yang berhadapan dengan masalah modal,” katanya.

Katanya, sehingga kini projek pembiayaan produk Ar Rahnu TEKUN Nasional telah melakukan sebanyak 32,006 transaksi berjumlah RM81.3 juta sejak ia dimulakan pada 2015 hingga Januari lepas.

“TEKUN Nasional akan meluaskan perkhidmatan Ar Rahnu ke seluruh negara dan antara cawangan yang telah beroperasi ialah Shah Alam, Wangsa Maju, Sentul, Semenyih, Alor Setar, Johor Bharu, Tawau, Kota Bharu dan Tanah Merah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )