Lenggong tapak warisan sejarah, kawasan pelancongan berpotensi besar

Lenggong tapak warisan sejarah, kawasan pelancongan berpotensi besar

LENGGONG: Bumi Lenggong sememangnya mempunyai kisah dan denai sejarahnya yang cukup panjang.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain berkata, banyak penemuan artifak dan bahan sejarah yang dijumpai menandakan Lenggong adalah satu kawasan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

“Antaranya adalah Lembah Lenggong, tapak arkeoligikal di Kota Tampan, Bukit Jawa, Kampung Geluk dan Kampung Temelong serta Penemuan Orang Perak atau lebih dikenali dengan nama Perak Man.

“Bahan lain yang ditemui adalah Wanita Perak daripada pasukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia.

“Terdapat juga satu kawasan pengeluaran peralatan batu yang tidak diganggu di mana peralatan kerikil dihasilkan dengan menggunakan alat seperti andas dan tukul batu telah digali di tapak arkeologi Kota Tampan. Bengkel ini dikatakan telah wujud semenjak 75 000 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kempen Perak Kembali Gemilang @ Lenggong di Teratak Kapten Rosli, Lenggong disini.

Katanya, kesemua ini membuktikan Lenggong mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan sudah pasti menyimpan 1001 khazanah dan bahan artifak yang boleh diterokai sebagai bahan sejarah.

“Ini akan membolehkan Lenggong diangkat sebagai kawasan pelancongan yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat di sini,” katanya.

Program yang diadakan sepanjang hari ini berlangsung penuh meriah dengan kehadiran pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Antara program menarik yang disajikan ialah seperti kenduri rakyat, sukan rakyat dan tradisional kesenian kebudayaan pelbagai kaum.

Selain itu, rakyat diberi peluang mengetahui dengan lebih jelas tentang insentif dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak malah mereka boleh terus memohonnya secara terus melalui booth agensi berkaitan.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )