Negara di landasan betul, rakyat akan terima pelbagai manfaat

Negara di landasan betul, rakyat akan terima pelbagai manfaat

LENGGONG: Negara kini berada di landasan yang betul dalam membawa ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata usaha untuk membawa pembaharuan atau reformasi bagi memperbetulkan semula negara sedang berjalan dengan baik.

Ini katanya termasuklah dari sudut ekonomi, pemisahan kuasa, ketelusan dalam urus tadbir dan semua yang menjadi struktur asas negara.

“Di Perak kita sedang berada dalam fasa mempertingkatkan program-program yang berpusatkan rakyat.

“Insentif dan inisiatif yang kita gagaskan dalam Belanjawan 2020 menjurus kepada bagaimana rakyat diberi keutamaan dan hasil negeri disalurkan terus kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kempen Perak Kembali Gemilang @ Lenggong di Teratak Kapten Rosli, Lenggong disini.

Hasnul memberi contoh, Kerajaan Negeri Perak telah menyediakan banyak bantuan kepada golongan asnaf dan B40, antaranya adalah pemberian Kotak Harapan, Kad Perak Prihatin, Insentif Tajaan Umrah Asnaf, bantuan kewangan untuk jemaah haji, biasiswa, Demasiswa Harapan dan banyak lagi.

Namun apa yang dikesalkan, katanya, ada pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat usaha yang kita jalankan ini dengan menimbulkan kesangsian dan melaga-lagakan kerajaan dan masyarakat.

“Apa yang menyedihkan, mereka bukan sahaja tidak memikirkan soal masa depan negara dan negeri malah langsung tidak pernah membantu menjadi penyemak dan pengimbang yang berkesan kepada kerajaan.

“Namun saya sebagai sebahagian pimpinan dalam kerajaan negeri akan terus mempertahankan usaha yang kita buat untuk mengangkat dan mengubah nasib rakyat.

“Kerana ini adalah priority saya pada ketika ini iaitu rakyat harus dibela dan rezeki yang Allah kurniakan kepada negeri perlu disampaikan kepada rakyat untuk sama-sama kita rasai nikmat yang Allah kurniakan,” katanya.

Beliau memberi tekad selagi diberi mandat dan rakyat memberi sokongan, Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan berganjak untuk terus membangunkan negeri ini dan membela rakyat di bawah.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )