Kenyataan Fitnah: Ketua Penerangan Pas Perak diberi tempoh 7 hari memohon maaf!

Kenyataan Fitnah: Ketua Penerangan Pas Perak diberi tempoh 7 hari memohon maaf!

IPOH: Exco Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Asmuni Awi hari ini memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang kepada Ketua Penerangan Pas Perak, Mohd Hafez Sabri.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH Perak, Mohd Fitri.

Tindakan tersebut berikutan satu kenyataan fitnah yang dilakukan oleh pemimpin Pas itu kepada Asmuni melalui laman Facebooknya.

Mohd Fitri berkata, kenyataan Hafez Sabri bertajuk “Pemimpin DAP Perak bawa tarian naga riuh bergendang di surau, mana tindakan exco agama dari PAN Perak?” pada 4 Februari lalu adalah berbaur fitnah.

Kata beliau, Hafez Sabri membuat fitnah kononnya Asmuni Awi selaku Exco Agama Islam gagal untuk mengambil tindakan terhadap penganjuran tarian naga dan mercun di surau Al-Qomar tersebut.

Kenyataan tersebut mengulas kepada program Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Surau Al-Qomar, Taman Pengkalan Utama pada 1 Februari lalu yang dihadiri oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.

Di dalam program tersebut, antara lain berlangsungnya tarian naga yang mencetuskan rasa tidak selesa sesetengah masyarakat disekitar surau tersebut.

“Hafez Sabri telah mengeluarkan satu kenyataan di Facebook beliau dengan mendakwa seolah-olah Asmuni tidak melakukan apa-apa tindakan terhadap program tersebut.

“Hafez Sabri juga telah membuat tuduhan kononnya disebabkan program tersebut melibatkan pemimpin DAP lalu tiada apa-apa tindakan diambil.

“Kenyataan ini adalah merupakan satu fitnah dan berniat jahat terhadap Dato Asmuni selaku Exco Agama Islam.

“Isu yang dimainkan melalui kenyataan berbaur fitnah tersebut telah memberi imej yang buruk dan negatif kepada Asmuni di kalangan orang Islam dan Melayu serta institusi Diraja yang menjadi penaung kepada agama Islam. Ia adalah satu pembunuhan karakter,” katanya dalam satu sidang media di Wisma AMANAH Perak, Ipoh disini hari ini.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh; Pengerusi Kanun Amanah Perak, Akhiruddin Taib dan ahli jawatankuasa, Safarizal Saleh.

Mohd Fitri berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 7 Februari lalu telah membuktikan dakwaan Hafez Sabri itu tidak benar.

“Kenyataan JAIPk jelas membuktikan Hafez Sabri telah mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan fitnah.

“Kerajaan Negeri melalui JAIPk telah pun mengambil tindakan awal dengan mengadakan pertemuan dengan pengerusi surau tersebut pada 31 Januari lalu iaitu sebelum program tersebut berlangsung.

“Dan pada 5 Februari, pengerusi surau tersebut telah pun memberi penjelasan terhadap perkara tersebut dan membuat permohonan maaf,” jelasnya.

Walaubagaimanapun Mohd Fitri berkata, Asmuni memberi tempoh selama tujuh hari kepada Hafez Sabri untuk membuat permohonan maaf.

“Saya telah mendapat arahan daripada Dato’ Asmuni untuk memberi tempoh 7 hari bermula hari ini kepada Mohd Hafez Sabri untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam facebook beliau dan menarik balik kenyataan tersebut.

“Sekiranya tiada apa-apa tindakan daripada beliau, maka Dato’ Asmuni akan mengambil tindakan undang-undang yang lebih lanjut,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )