LTdL: Beberapa jalan utama di Taiping ditutup esok

LTdL: Beberapa jalan utama di Taiping ditutup esok

TAIPING: Beberapa jalan utama di sekitar bandar Taiping akan ditutup bagi memberi laluan kepada peringkat keenam perlumbaan jelajah berbasikal berprestij Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020, esok.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata majlis pelancaran perlumbaan itu akan dilaksanakan di Dataran Warisan, di sini, pada hari yang sama.

Beliau berkata jalan-jalan yang ditutup mulai pukul 11 pagi hingga 2.00 petang itu melibatkan Jalan Taming Sari, Jalan Alang Ahmad, Jalan Pasar, Jalan Manecksha, Jalan Barrack, Jalan Esplanade, Jalan Kelab Lama dan Jalan Kota

“Ia bagi melancarkan kayuhan sejauh 150.9 kilometer dari sini ke Pulau Pinang. Pengguna jalan raya juga hendaklah mematuhi peraturan lalulintas dan arahan anggota trafik yang bertugas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pada hari berkenaan, kenderaan dari arah Penjara Taiping akan dilencongkan ke Jalan Muzium; Jalan Kota dilencongkan ke Jalan Tokong; dari Taman Tasik dilencongkan ke lorong Taman Tasik; Jalan Ong Saik dilencongkan ke Jalan Pasar; Jalan Istana Larut dari Tesco pula akan dilencongkan ke Jalan Bararack dan Jalan Stesen; bermula dari pukul 8.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari.

“Pengguna dari Bandar Taiping hendak ke Pekan Simpang boleh menggunakan Jalan Pasar, Jalan Kota dan Jalan Convent manakala jalan antara Kuala Sepetang-Taiping dan Jalan Ipoh-Butterworth pula akan ditutup secara berperingkat pada pukul 11 pagi,” katanya.

Osman berkata sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan menelefon talian 05-8291242, atau pejabat trafik 05-8291231.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )