SUKMA: atlet podium harapan utama Perak raih pingat

SUKMA: atlet podium harapan utama Perak raih pingat

IPOH: Sasaran utama Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Perak dalam kejohanan di Johor tahun ini adalah untuk meningkatkan pencapaian berbanding SUKMA sebelum ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kontinjen SUKMA Perak dalam keadaan bersiap sedia menghadapi  temasya tersebut.

Menurutnya, atlet podium  menjadi harapan utama negeri Perak untuk meraih pingat.

“Kontinjen Negeri Perak mengharapkan sumbangan besar daripada Atlet Program Podium Perak berjumlah seramai 154 orang dari 21 jenis sukan yang dijangkakan akan menyumbangkan emas untuk Kontinjen SUKMA Negeri Perak di Johor nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kontinjen Negeri Perak sempena SUKMA Johor 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, disini semalam.

Delegasi Johor semalam telah diketuai oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Ahmad Faizal berkata, bagi persediaan Kontinjen SUKMA Perak, aspek prestasi atlet amat dititikberatkan berdasarkan penyertaan kejohanan dan latihan yang bersistematik di bawah kendalian jurulatih tempatan dan luar negara yang berkelayakan.

“Dalam persiapan Kontinjen SUKMA Negeri Perak, Majlis Sukan Negara (MSN) Perak telah mengaplikasikan Sains Sukan dengan memberi perkhidmatan kepada jurulatih dan atlet dari segi khidmat psikologi, pemakanan sukan, perubatan sukan, dan lain-lain.

“MSN Perak juga telah menyusun atur operasi struktur organisasi Kontinjen SUKMA semasa di SUKMA Johor bagi memastikan kemudahan disediakan mencukupi dan melancarkan pergerakan kontinjen negeri Perak yang akan bertanding,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )