Hasil audit forensik MAPS dijangka akan diumumkan April

Hasil audit forensik MAPS dijangka akan diumumkan April

IPOH: Hasil audit forensik berhubung penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini dijangka akan diketahui pada April nanti.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata audit forensik telah dibuat dan disiapkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri, dan perkara itu sedang diteliti oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ia akan diumumkan (pada sidang DUN yang dijangka April ini) sekiranya dibenarkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Bersama Warga Kerja Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) semalam.

Ahmad Faizal juga pengerusi PPPNP turut menggesa semua pihak supaya berhenti membuat spekulasi dan menyalahkan satu sama lain berhubung penutupan taman tema yang dibuka pada Jun, 2017 dengan kos RM520 juta itu.

“Orang awam akan tahu apa yang terjadi… tak payah kita hendak bercakap dalam media sosial dan tuduh menuduh. Ada yang tuduh mantan Menteri Besar mencuri dan sebagainya. Kita telah buat audit forensik audit dan sebagainya jadi kita tunggu laporannya, yang mana kita akan buat laporan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat kesalahan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata pihaknya sedang berusaha menyelamatkan MAPS dengan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah hutang, selain memastikan para pekerja yang terpaksa diberhentikan memperoleh pampasan sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui banyak pihak dari dalam dan luar negara yang berminat dengan MAPS, yang mana setakat ini terdapat dua pelabur tempatan dan dua lagi pelabur daripada China telah menyatakan minat untuk melabur terhadap taman tema itu.

Bagaimanapun katanya pihak yang berminat untuk melabur dengan MAPS perlu berhubung terus dan berurusan dengan pihak bank.

Pada 28 Januari lepas, pihak Penerima dan Pengurus, Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) Tetuan Ernst & Young mengeluarkan notis penutupan MAPS berkuat kuasa 28 Januari lepas sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )