Keperitan hidup atlet bola baling Perak berakhir

Keperitan hidup atlet bola baling Perak berakhir

PARIT BUNTAR: Kesukaran hidup yang dialami keluarga atlet bola baling Sukan Malaysia (Sukma) Perak, selepas kediaman mereka musnah dijilat api pada Ogos tahun lalu kini berakhir, setelah menerima sebuah rumah baharu.

Nur Fazira Mohd Nor, 22, yang mewakili Perak semasa Sukma 2018 melahirkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan negeri, melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) yang membina sebuah rumah untuk keluarganya, di Kampung Kuala Bagan, dekat sini.

“Sebelum ini saya dan keluarga menyewa rumah di Kampung Sungai Betul Bawah dengan bayaran sewa RM350 sebulan, kini adanya rumah baharu ini dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan khas rumah SSI, di Kampung Kuala Bagan dekat sini hari ini.

Majlis penyerahan Perumahan Bantuan Khas rumah itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Datuk Abdul Yunus Jamhari.

Nur Fazira yang juga ketua pasukan bola baling Perak, kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Dalam kejadian pada 13 Ogos tahun lalu, Nur Fazira sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, apabila rumah mereka musnah dijilat api dalam kebakaran pada pukul 7.30 malam dan atlet itu kehilangan barangan berharga, termasuk pingat emas Sukma 2018 selain kelengkapan peralatan sukan serta sijil persekolahan.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata rumah itu dibina sebagai mengenang jasa Nur Fazira, kerana mengharumkan nama negeri Perak dalam sukan bola baling.

Katanya rumah tiga bilik tidur dan sebuah bilik air itu dibina di atas tanah milik sendiri keluarga Nur Fazira, bagi memberikan keselesaan kepada 11 ahli keluarga yang tinggal bersama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSI Azizul Rahman Mohamad berkata, pihaknya merancang untuk membina 8,000 buah rumah mampu milik dengan kerjasama swasta tahun ini, hingga tahun 2023.

Katanya setiap sebuah rumah dianggar berharga RM70,000 hingga RM250,000, dengan permulaan dijangka di daerah Kerian, Batang Padang dan Kinta.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )