Sivanesan : TVET perlu jadi pilihan utama pelajar

Sivanesan : TVET perlu jadi pilihan utama pelajar

BAGAN DATUK: Kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan salah satu bidang yang perlu menjadi pilihan utama para pelajar ketika ini.

Exco Kerajaan Negeri Perak, A Sivanesan berkata kemahiran dan kepakaran dalam bidang tersebut amat diperlukan ketika negara ini menuju sebagai sebuah negara maju.

“Sekiranya anak-anak tidak berjaya dalam bidang pelajaran, ia bukanlah alasan untuk tidak berjaya kerana kerajaan telah memberi penekanan kepada TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Pergam Kali ke 38 bagi Tahun 2020 baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau turut menekankan tentang betapa besarnya peranan ibu bapa dalam mencorakkan masa depan anak-anak.

Katanya, biarpun sesebuah sekolah itu berada dalam kawasan pedalaman, ia bukan menjadi alasan seseorang itu untuk berjaya dalam apa jua bidang.

“Kita sebagai ibu bapa mestilah memainkan peranan untuk mendidik anak-anak kita, tidak boleh mengharapkan guru-guru semata-mata.

“Yakinlah, anak-anak kita mampu berjaya sekiranya kita memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah guru besar, Nor Azaliah Dahari; Penolong Pegawai PPD Bagan Datuk ( Sektor Perancangan), Mohamad Faizul Hafiz Abdul Razak; dan Yang Dipertua PIBG, Hairul Anuar Ramlan

Dalam majlis itu, Sivanesan yang juga merupakan Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri Perak telah mengumumkan peruntukan khas kepada PIBG sekolah tersebut.

Beliau turut bersetuju untuk menyalurkan peruntukan bagi mengubahsuai bilik bagi kemudahan seorang guru kelainan upaya yang mengajar di sekolah berkenaan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )