Laporan polis terhadap Haji Surur Ghazali kerana fitnah dan hasutan!

Laporan polis terhadap Haji Surur Ghazali kerana fitnah dan hasutan!

KUALA LUMPUR: Tiga gabungan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Haji Surur Ghazali’, yang didakwa memuat naik status berunsur hasutan.

Gerakan Martabat Pejuang Negara Malaysia, Gabungan NGO Pakatan Harapan dan Pertubuhan Kebajikan Insan Prihatin Kuala Lumpur itu, menggesa polis menyiasat status itu yang didakwa berunsur menghasut dan fitnah, terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Status yang dimuat naik minggu lepas itu, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, kata Presiden Gerakan Martabat Pejuang Negara Malaysia Razali Zakaria, kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

“Status bergambar yang dimuat naik itu menyebut Menteri Wilayah Persekutuan memberi sokongan kepada peniaga burger babi, dan memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Mujahid) berkenaan isu Kementerian Kewangan rompak duit daripada Tabung Haji,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Prihatin Kuala Lumpur, Datuk Mohd Noor Ali Akbar menggesa, pemilik akaun ‘Haji Surur Ghazali’ agar memadam dan meminta maaf terhadap apa yang dilakukan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )