Kerajaan Negeri Perak sambut baik perancangan ‘catalyst project’ SADC

Kerajaan Negeri Perak sambut baik perancangan ‘catalyst project’ SADC

IPOH: Dengan tema ‘Pertanian Unggul Dan Lestari, Mensejahterakan Rakyat’, Kerajaan Negeri Perak menyambut baik perancangan ‘catalyst project’ seperti Perak Agro Valley oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, projek berskala besar ini akan menarik ramai pelabur dan cipta peluang kepada rakyat untuk jana pendapatan dalam bidang pertanian dan penternakan.

Dengan sasaran pelaburan sehingga RM1 bilion, projek ini katanya akan bantu usaha memperkasa bidang pertanian di negeri Perak.

“Ini adalah selari dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menitahkan supaya kerajaan menghasilkan pelan strategik untuk melindungi keselamatan bekalan makanan negara, seterusnya mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat jelata.

“Dalam kita merencana dan melaksana projek yang murni ini, adalah penting untuk kita belajar daripada kesilapan-kesilapan pentadbiran terdahulu,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Menteri Besar Tahun 2020 bersama Warga Kerja SADC di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh disini baru-baru ini.

Beliau berkata, kita semua perlu mengkaji ‘learning curve’ daripada apa yang berlaku sebelum ini supaya kita dapat mengambil iktibar dan mengelakkan perkara-perkara yang tidak menghasilkan impak optimum dalam mensejahterakan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Adun Chenderiang itu mengingatkan agar seluruh rakyat perlu mengambil serius dengan ancaman perubahan iklim.

Katanya, sudah sampai masanya untuk kita menganggap tindakan menangani perubahan iklim ini sebagai jihad dalam melindungi keselamatan bekalan makanan negara.

“Bertentangan dengan pendapat umum bahawa sektor pertanian boleh membantu memelihara kelestarian alam, terdapat perdebatan mengenai kesan sektor pertanian terhadap perubahan iklim.

“Justeru kita mesti bertanya, bagaimana kita perlu bertindak? Di sinilah kita perlu memberi fokus kepada Rethink.

“Saya berharap SADC akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk gerakkan agenda Pertanian Lestari atau Sustainable Agriculture,” katanya.

Ujar beliau, ia mencakupi pengubahsuaian corak pengurusan tanaman, meningatkan penggunaan teknologi moden, penerapan kaedah pertanian organik dan sebagainya.

Katanya, kita perlu melihat konsep Agronomi yang menggabungkan pelbagai cabang sains, sebagai salah satu alternatif ke arah pertanian lestari jangka panjang.

“Kita tidak melakukan ini untuk diri kita, tetapi untuk generasi pewaris kita.

“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini,” jelasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )