Kerajaan perluas skim mySalam kepada M40

Kerajaan perluas skim mySalam kepada M40

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan mengumumkan perluasan skim perlindungan kesihatan mySalam kepada golongan M40 iaitu individu yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM100,000 setahun.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata perluasan skim ini dijangka akan membawa manfaat kepada 8 juta individu bagi tahun 2020.

Jelasnya, golongan itu boleh melengkapkan proses pendaftaran bermula hari ini (11 Feb) hingga 31 Mac dan membuat tuntutan mulai Mei akan datang.

“Selepas tarikh (pendaftaran) tersebut, semua penerima yang layak akan dimaklumkan dan boleh mengemukakan tuntutan masin-masing,” katanya dalam ucapan majlis perluasan skim mySalam di Kementerian Kewangan.

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 24 Jan tahun lalu merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara kerajaan persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd.

Perlindungan takaful itu disediakan dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah 1 daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harian sebanyak RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun.


Sewaktu skim perlindungan kesihatan masyarakat, mySalam, mula diperkenalkan, ia tidak membawa sebarang makna buat Steffanie Ronald, 33, memandangkan skim berkenaan hanya terbuka kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.

Namun Steffanie yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta di sini dapat menghela nafas lega apabila kerajaan memperluaskan skim itu untuk golongan pertengahan atau M40.

“Waktu mula dilaksanakan tahun lepas, ia tidak menarik perhatian saya langsung tetapi selepas diperluaskan untuk melibatkan golongan M40 sudah pastilah saya gembira kerana ini menjadikan saya layak untuk mendaftar di bawah skim ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Bagi beliau, sebelum ini membayar premium untuk insurans kesihatan merupakan antara beban yang perlu ditanggungnya setiap bulan dalam keadaan terperangkap sebagai golongan yang tidak layak untuk mendapat bantuan seperti yang dinikmati golongan B40 dan tidak pula tergolong dalam kumpulan berpendapatan tinggi atau T20.

“Saya rasa keputusan kerajaan untuk memperluaskan skim ini sebagai satu langkah bijak yang dapat mengurangkan beban golongan M40 seperti saya ini yang turut terkesan juga dengan peningkatan kos kehidupan,” katanya.

Bagi Zenoil Nunok, memiliki insurans kesihatan merupakan sesuatu yang hanya dapat diimpikannya sahaja sebelum ini memandangkan bayarannya yang agak tinggi bagi seorang yang bekerja sebagai pembantu jualan sepertinya.

Beliau juga mengakui kepentingan untuk mendapatkan perlindungan insurans kesihatan ketika ini memandangkan kos perubatan yang semakin meningkat dan pada usia 30 tahun, ia boleh dianggap sebagai mendekati kemuncak umur bekerja.

“Kita tidak tahu apa akan berlaku di kemudian hari, walaupun usia masih muda namun penyakit tidak mengenal erti usia. Saya bersyukur kerajaan sekarang memahami apa yang dihadapi golongan seperti saya dan memperkenalkan MySalam supaya apa yang saya impikan tidak tinggal sebagai mimpi sahaja,” katanya,

Skim mySalam pada mulanya terhad kepada golongan B40 yang berumur 55 tahun ke bawah tetapi apabila kerajaan bersetuju menaikkan had umur kepada 65 tahun, Zenoil berkata ia pastinya dapat melindungi lebih ramai lagi rakyat yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan perlindungan ini.

“Kos perubatan bukan murah, tambahan pula bagi golongan yang sudah memasuki usia persaraan dengan pendapatan yang berkurangan dan tahap kesihatan yang perlu mendapat lebih perhatian. Saya lihat (melalui kenaikan had umur ini) kerajaan tahu siapa yang perlu dibantu dalam hal perlindungan kesihatan ini,” katanya.

Kerani di sebuah syarikat guaman, Nurliza Chia, 43, berkata kenaikan kos sara hidup yang dihadapi sekarang bukan sahaja memberi kesan kepada golongan B40 malah turut menyebabkan mereka dalam golongan M40 perlu lebih berhati-hati dalam membelanjakan pendapatan mereka.

“Manfaat-manfaat yang disenaraikan dalam skim ini pun amat diperlukan bagi kumpulan M40 kerana kita pun bekerja juga dan tidak tergolong dalam kumpulan berada (berpendapatan tinggi). Kalau masa sakit dan tak dapat bekerja, sekurang-kurangnya skim ini dapat memberikan pendapatan gantian bagi mengurangkan beban,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )