mySalam: Tukang cuci lega terima perlindungan kesihatan daripada kerajaan

mySalam: Tukang cuci lega terima perlindungan kesihatan daripada kerajaan

GEORGE TOWN: Setelah sekian lama tidak memiliki skim perlindungan takaful akibat kekangan kewangan, kini skim perlindungan kesihatan masyarakat, mySalam, memberi sinar baru buat golongan berpendapatan rendah yang sememangnya menginginkan kemudahan itu.

Bagi tukang cuci Zaleha Othman, 49, program mySalam yang diperkenalkan kerajaan sangat bagus kerana ia membolehkan beliau kembali berpeluang untuk mendapatkan kemudahan perlindungan kesihatan dan lebih menggembirakannya skim itu diberikan secara percuma.

“Selepas mendengar penerangan terperinci daripada pegawai mySalam tadi, saya rasa seronok dan bersyukur sangat dapat peluang untuk skim ini sebab kami tergolong dalam kalangan orang susah. Bila ada skim begini dapatlah menampung apa-apa yang patut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Karnival Info Rakyat 2020 anjuran Jabatan Penerangan Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.

Zaleha berkata beliau sudah lama tidak mengambil apa-apa skim perlindungan kesihatan kerana tidak mampu untuk menampung bayaran bagi kos insurans.

Nada sama turut dilontarkan seorang lagi tukang cuci Khadijah Ariffin, 58, yang menyifatkan program tersebut suatu tindakan yang amat efektif dan terbaik daripada pihak kerajaan untuk rakyat.

Menurut Khadijah berdasarkan semakan yang dibuat, beliau layak memohon skim itu memandangkan suaminya adalah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Jadi kami akan mohon…terima kasih kepada kerajaan laksanakan skim ini. Sekarang kita tahulah macam-macam penyakit, kadang-kadang ada penyakit yang kita tak mampu nak bayar sebab peralatan dan rawatannya mahal…orang berpendapatan rendah ini memang tidak mampu,” katanya.

Bagi seorang suri rumah, Michelle Yeoh, 68, pula beliau sangat tertarik dengan inisiatif yang disediakan kerajaan menerusi pelbagai program seperti Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (Peka B40) dan mySalam.

“Saya terkejut melihat begitu banyak kemudahan disediakan kerajaan untuk rakyat. Penjelasan yang diberikan oleh pegawai yang bertanggungjawab terhadap inisiatif ini membuatkan saya kagum dan saya akan uar-uarkan kepada kawan-kawan saya,” katanya.

Sementara itu, seorang kru kiosk mySalam, Nur Alia Najiha Mohd Jais mengalu-alukan penerima yang berkelayakan agar segera memohon dan mendapatkan inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan.

Menurutnya, masih ramai yang belum tahu dan sedar kewujudan skim itu dan pihaknya kini giat menjalankan kempen penerangan di seluruh negara bagi membantu masyarakat memahami pelaksanaan inisiatif kerajaan itu.

Nur Alia Najiha berkata sasaran untuk menubuhkan kiosk mySalam di seluruh negara adalah 125 kiosk dalam usaha untuk mempergiat dan menyebarluaskan pengetahuan tentang mySalam kepada masyarakat.

“Di Pulau Pinang, kiosk mySalam sudah dibuka di tiga hospital iaitu Hospital Pulau Pinang, Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Seberang Jaya. Skim ini sangat bagus kerana kerana rakyat dapat insurans tanpa perlu bayar apa-apa. Ramai yang menyangka skim ini berbayar, tidak sebenarnya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )