Kerajaan Perak sifatkan RELA duta perpaduan masyarakat

Kerajaan Perak sifatkan RELA duta perpaduan masyarakat

IPOH: Kerajaan Negeri Perak menyifatkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai duta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan berbangga apabila para anggota RELA tanpa mengira bangsa dan agama telah berkhidmat dengan penuh dedikasi semasa program-program yang dianjurkan oleh kerajaan.

“Anggota RELA daripada kaum Melayu dan India telah berkhidmat dengan penuh dedikasi mengawal keselamatan semasa perayaan sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri baru-baru ini.

“Kita juga berbangga kerana anggota RELA dari agama lain yang membantu mengawal keselamatan di masjid-masjid sewaktu solat Jumaat saban minggu.

“Ini adalah bukti bahawa RELA bukan sahaja badan sukarelawan, tetapi juga adalah wadah perpaduan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-48 Peringkat Kebangsaan di Stadium Indera Mulia, di sini, semalam.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Faizal berkata, beliau sangat tertarik dan berbangga dengan konsep pelaksanaan Pusat Khidmat Komuniti RELA (PKKR) yang dilaksanakan oleh RELA Malaysia.

“Saya dimaklumkan bahawa kesemua PKKR yang diaktifkan di 17 buah daerah pentadbiran RELA di Negeri Perak, diselia dan dibiayai sendiri oleh Anggota-anggota RELA yang terlibat.

“Ini luar biasa tuan-tuan, semangat dan komitmen luar biasa sebegini rupa wajib diberikan pujian.

“Saya percaya, semua ini berlaku kerana ia dibuat atas dasar semangat kesukarelawanan yang tinggi di dalam tuan-tuan. Syabas dan tahniah saya ucapkan!,” katanya.

Dengan pemerkasaan PKKR di semua daerah beliau percaya pentadbiran RELA yang berfungsi sebagai one stop center atau pusat operasi RELA setempat dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan di kawasan tersebut.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )