Kerajaan mahu perluas TVET ke institusi tahfiz

Kerajaan mahu perluas TVET ke institusi tahfiz

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan bekerjasama dengan sekolah atau institusi tahfiz dan Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi memperluaskan pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Program Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal-Tahfiz (TVET-Tahfiz).

Timbalan Menteri, Mahfuz Omar berkata, usaha itu bertujuan membuka ruang kepada pelajar tahfiz untuk mengikuti latihan kemahiran di institusi di bawah kementerian, sekali gus mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) agar mereka mempunyai peluang lebih luas dalam sektor pekerjaan.

Beliau berkata, Program TVET-Tahfiz yang mula dilaksanakan pada tahun lepas mempersiapkan pelajar tahfiz dengan kemahiran tinggi mengikut keperluan industri ke arah menuju Revolusi 4.0.

“Kita sedang berbincang dengan semua institusi tahfiz untuk melihat apa peluang yang boleh membantu mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik melalui Program SLDN, khususnya melibatkan pelbagai industri dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis TVET-Pemacu Pembangunan Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil, Melaka hari ini.

Beliau berkata syarikat Composites Technology Research Malaysia (CTRM) merupakan salah satu pihak industri yang menjalin kerjasama dengan ILP Bukit Katil menerusi tawaran kursus Juruteknik Perantisan Aeroangkasa.
Mahfuz berkata, menerusi kerjasama julung kali itu, 11 pelajar tahfiz atau huffaz dari pelbagai institusi tahfiz mengikuti kursus sepenuh masa selama 10 bulan bermula 3 Feb lepas, yang menyaksikan mereka terlibat akan mengikuti latihan 3 bulan di ILP Bukit Katil, dan 7 bulan di CTRM.

Mereka yang berjaya akan dianugerahkan SKM Tahap Dua bidang Pembuatan Komposit dan seterusnya ditawarkan bekerja di syarikat itu,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )