Perbezaan jauh Mohamad Sabu dengan Hishammudin Hussein

Perbezaan jauh Mohamad Sabu dengan Hishammudin Hussein

1. Mutakhir ini kerap kali bekas Menteri Pertahanan Dato Seri Hishammudin Hussein melakukan serangan berkala terhadap Menteri Pertahanan ketika ini Mohamad Sabu. Beliau mengkritik apa yang beliau katakan kelemahan dan perbezaan jauh beliau dengan Mohamad Sabu. Ini termasuk lawatan Mohamad Sabu ke Pangkalan TLDM Sharifah Rodziah di Sabah dan juga isu berkait hubungan trilateral Malaysia, Indonesia Filipina yang logiknya tiada keperluan dipersoalkan.

2. Sememangnya Mohamad berbeza dengan Hishamudin. Penggal yang lepas Hishamuddin telah menghantar tentera Malaysia membantu Saudi dan pakatan negara Arab menyerang Yaman yang hari ini hampir 16 juta rakyatnya kebuluran dan ribuan mati akibat peperangan tersebut tetapi Mohamad Sabu telah menarik balik tentera dari Saudi.

3. Mohamad Sabu juga bersuara tegas berkait isu Rohingnya di Mesyuarat Menteri Menteri Pertahanan ASEAN disebabkan kesan konflik tersebut tidak hanya ditanggung Myanmar, tetapi juga negara negara serantau yang menerima pelarian. Begitu juga Mohamad Sabu bersuara menegur Pakatan Atlantik Utara NATO yang telah menaja perang proksi di beberapa negara di Timur Tengah di Munich Conference. NATO, pakatan yang disertai 29 buah negara yang terdiri daripada Amerika Syarikat, negara negara Eropah dan Turki hari ini terlibat dalam mengepung Syria dengan sokongan Israel. Begitu juga di Libya dan bantuan kepada peperangan proksi di Yaman, Iraq dan beberapa negara yang lain.

4. Mohamad memuji kejayaan pembangunan negara negara Eropah tersebut dan kejayaan mereka mengelakkan sebarang peperangan dengan Russia sebagaimana sebelumnya, tetapi amat malang apabila mereka menaja peperangan proksi di Timur Tengah. Di hadapan pemimpin pemimpin Barat itu juga beliau mengingatkan NATO bahawa konflik di Laut China Selatan mestilah diselesaikan dengan jalan rundingan dengan China dan negara negara berkaitan dan jangan sesekali membawa peperangan proksi ke rantau Asia Tenggara. Berbeza dengan Hishammudin beliau tidak menyuarakan hal hal ini ketika menjadi Menteri Pertahanan.

5. Mohamad Sabu juga terpaksa berhadapan dengan kekangan perolehan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia ATM disebabkan banyak perolehan yang dibuat pada zaman Hishammudin tidak sampai ke tangan ATM. Antaranya perolehan Helikopter MD530G sebanyak 6 buah yang bernilai RM300 juta tidak sampai sebagaimana yang dijanjikan. Perolehan Helikopter ini diluluskan pada zaman Hishammudin menjadi Menteri Pertahanan iaitu pada tahun 2015 dan sepatutnya ianya diterima oleh ATM pada tahun 2017 dan 2018 melalui dua penghantaran. Namun sehingga ke hari ini belum sebuah pun diterima oleh ATM.

6. Mohamad Sabu juga terpaksa menanggung kekurangan kapal kapal untuk kegunaan Tentera Laut disebabkan enam buah Littoral Combat Ship (LCS) yang diluluskan perolehannya dengan nilai hampir RM9 billion, namun sampai ke hari ini sebuah pun gagal disiapkan oleh pihak berkenaan. Ini sebahagian kegagalan kerajaan yang lalu khususnya di bawah pentadbiran Hishammudin sebagai Menteri Pertahanan yang terpaksa ditanggung bebanannya oleh Mohamad Sabu.

7. Belum lagi diambil kira beberapa kes salah urus tadbir di zaman Hishammudin berkait isu Land Swap yang menurut laporan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah menyebabkan kerajaan rugi sebanyak nilai RM500 juta. Perancangan pihak ATM untuk membina Kem baru 1 Briget di Rasah yang sudah pun usang untuk dibina di Port Dickson telah diarahkan pentadbiran yang lalu untuk di bina Di Paloh dalam Parlimen Semberong di bawah Hishammudin. Bukan sekadar kerajaan kerugian nilai tanah, tetapi keperluan dan perancangan pembangunan ATM juga telah gagal dilaksanakan.

8. Kesemua hal ini menyebabkan pentadbiran Kementerian Pertahanan yang baru dibawah kendalian Menterinya Mohamad Sabu terpaksa menanggung dan memperbaikinya. Memang benarlah Mohamad berbeza jauh dengan Hishammudin kerana Mohamad menanggung beban ditinggalkan Hishammudin.

MOHD NASAIE ISMAIL
Pegawai Tugas Tugas Khas Menteri Pertahanan

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )