Kerajaan negeri komited perkasa latihan TVET untuk anak-anak Perak

Kerajaan negeri komited perkasa latihan TVET untuk anak-anak Perak

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sangat komited untuk terus memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam konteks negeri ini.

Ini bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan rakyat negeri Perak di pelbagai bidang, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan  mesyuarat khas bagi merencana agenda pembangunan latihan TVET, semalam.

Sebagai bukti kesungguhan kerajaan, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan bajet yang sangat besar untuk tahun 2020 iaitu RM3 juta khusus kepada usaha memperkasakan TVETm

“Untuk makluman rakyat Perak, buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan negeri memperuntukan RM3 juta khusus untuk latihan TVET buat anak-anak muda, di bawah Belanjawan Negeri Tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata pada Oktober 2019, kerajaan negeri telah melancarkan Inisiatif TVET Perak melibatkan kerjasama di antara Pusat Aspirasi Rakyat Perak (Pasak) dan Perak Eclat TVET Sdn Bhd.

“In shaa Allah lebih banyak inisiatif untuk menjadikan graduan TVET Perak sebagai tenaga kerja yang kompeten,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan sebelum ini telah mengumumkan pembinaan pusat latihan TVET pertama di Bidor.

Katanya, pusat latihan yang dijangka beroperasi pada Mac atau April tahun depan itu akan membabitkan pengambilan pelatih di lima kawasan Parlimen iaitu Tanjung Malim, Bagan Datuk, Teluk Intan, Tapah dan Kampar.

Menurut Sivanesan, penubuhan pusat TVET itu mendapat sokongan penuh dan dibiayai oleh kerajaan negeri bagi memastikan anak muda tidak berhijrah keluar Perak mencari pekerjaan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )