Kerajaan Perak fokus bantu, galak rakyat ceburi bidang usahawan

Kerajaan Perak fokus bantu, galak rakyat ceburi bidang usahawan

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sangat komited untuk bantu para usahawan di negeri ini dan menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri sangat mengharapkan lebih ramai lagi rakyat menyertai bidang keusahawanan sebagai salah satu strategi untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

“Jadi di bawah Belanjawan Negeri Perak tahun 2020, kita telah memperuntukkan RM5.9 juta bagi memperkasa bidang keusahawanan.

“Daripada jumlah itu; RM5 juta untuk Tabung Usahawan, RM500,000 untuk memantapkan Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (SUPER) – program-program berimpak tinggi dan berfokus seperti entrepreneur coaching dan hand holding bagi usahawan-usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

“Selain itu kerajaan memperuntukkan RM400,000 untuk bantu usahawan-usahawan berpotensi sertai program-program promosi, showcase dan ekspo yang strategik bukan sahaja dalam negara, malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Fiesta Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Negeri Perak Tahun 2020 di RTC Gopeng disini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Dato’ Asmuni Awi; Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia, Mohamed Shamir Abdul Aziz; dan Pengerusi Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad, Mohd Najib Bin Mohd Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat mengharapkan rakyat khususnya golongan yang menceburi bidang usahawan agar memanfaatkan insentif Tabung Usahawan yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Yayasan Perak.

Katanya, untuk optimumkan impak Tabung Usahawan, kerajaan negeri sedang mengkaji proses agihan pinjaman tersebut supaya agihan lebih efisyen.

“Bukan sahaja agihannya mesti efisyen, tetapi kutipan bayaran balik pun mestilah efisyen juga.

“Yang ini, kerajaan negeri berharap dapat belajar daripada pihak AIM.

“Sebab sebelum-sebelum ini, saya difahamkan banyak juga pinjaman yang kerajaan negeri salurkan melalui Yayasan Perak, belum berjaya dikutip balik,” katanya.

Ahmad Faizal juga menyeru semua usahawan dan bakal-bakal usahawan untuk sentiasa mencari ilmu tentang pengurusan perniagaan – pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran.

Katanya, tidak kira betapa kecil pun perniagaan kita, ilmu perniagaan ini sangat penting disamping menggalakkan para usahawan untuk mengambil manfaat daripada teknologi terkini.

“Sekarang ni tak semestinya ada kedai atau gerai untuk mula berniaga sebab boleh jual terus secara online.

“Boleh pasarkan dalam macam-macam aplikasi. Sebagai contoh, sekarang ni di Ipoh dan bandar-bandar lain, GrabFood dan Food Panda semakin popular.

“Pelanggan order saja secara online dan makanan akan dihantar terus ke rumah atau pejabat atau mana-mana lokasi,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )